Siakap Keli
nasa kesan pancaran hijau musytari
Kredit: NASA

Kapal Angkasa NASA Kesan Pancaran Hijau Di Musytari

Kapal Angkasa NASA Kesan Pancaran Hijau Di Musytari

Sebuah kapal angkasa Jabatan Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) dilapor berjaya mengesan cahaya hijau yang muncul dari planet Musytari, lapor USA Today.

Para saintis mempercayai cahaya itu datang dari pancaran atau sambaran kilat berhampiran kutub utara planet itu.

Tidak seperti Bumi, di mana kilat dan petir berasal dari awan + air dan paling kerap berlaku berhampiran garisan khatulistiwa.

Manakala, kilat di Musytari berlaku dalam awan yang mengandungi larutan air + ammonia dan paling kerap terjadi berhampiran kutub, menurut NASA.

Kredit: NASA

Foto itu dikeluarkan pada Khamis selepas dirakam melalui misi Juno NASA ketika ia melangkapkan penerbangan jarak dekat ke-31 Musytari pada 30 Disember 2020.

Kapal angkasa itu berada kira-kira 19,000 batu di atas puncak awan Musytari ketika imej itu diambil.

Menurut NASA, kapal angkasa misi Juno memulakan perjalanan lima tahunnya untuk meneroka Musytari pada Ogos 2011 dan pertama kali tiba di planet itu pada Julai 2016.

Kini dalam misi lanjutannya, kapal angkasa itu akan terus meneroka planet tersebut sehingga September 2025, atau sehingga penghujung hayatnya.

Dengan menggunakan data ‘mentah’ daripada instrumen JunoCam kapal angkasa, saintis Kevin M. Gill membangunkan imej terakhir pada 2022, memetik CNN.

Kredit: NASA

Imej mentah (kasar, belum diproses) Musytari dan bulannya yang diambil oleh JunoCam disiarkan dalam talian dan tersedia untuk diproses oleh sesiapa sahaja.

BACA: James Webb NASA Kesan Kewujudan Air Di Sekitar Komet

Siasatan Juno yang berterusan akan membantu para saintis memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang planet terbesar dalam sistem suria dan ciri-ciri tersendirinya.

Orbit Juno yang mengelilingi Musytari akan berada semakin dekat dengan planet itu dari semasa ke semasa, jadi kapal angkasa akan melepasi malamnya dengan rapat dalam beberapa bulan akan datang membolehkan lebih banyak peluang untuk mengintip kilat pada planet gergasi itu.

“Serta mengubah orbit kami secara berterusan untuk membolehkan perspektif baharu Musytari dan terbang rendah di atas malam di planet ini, kapal angkasa itu juga akan menyambungkan ‘jarum’ di antara beberapa cincin Musytari untuk mengetahui lebih lanjut tentang asal usul dan komposisinya,” kata Matthew Johnson, pemangku pengurus projek untuk misi Juno di Makmal Propulsion Jet NASA di Pasadena, California.

Juno yang dilengkapi dengan pelbagai instrumen boleh membuat pengesanan di bawah litupan awan tebal di Musytari untuk mengumpul data tentang asal usul planet, atmosfera dan fenomena cuaca.

Sumber: USA Today, CNN

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana