Pengambilan Air Bawah Tanah Sebabkan Bumi Semakin Condong – Kajian
Satu kajian yang dijalankan mendapati bahawa keperluan dan penggunaan air di Bumi telah menyebabkan Bumi menjadi semakin condong, lapor Daily Mail.
Penyelidik di Korea berkata bahawa pengambilan air di bawah tanah di seluruh dunia untuk diminum dan pengairan telah mengubah jisim Bumi. Pengambilan ini kemudiannya telah menyebabkan paksi Bumi ‘bergoyang’.
Menurut pasukan itu, pengambilan jisim air dalam jumlah yang besar telah mengakibatkan Bumi condong sebanyak 31 inci (78.5cm) ke timur
Ianya dilaporkan berlaku antara 1993 hingga 2010.
Pergerakan kedudukan pada paksi itu berpotensi meningkatkan jumlah penerimaan cahaya matahari di kutub yang seterusnya meningkatkan pencairan ais.
Dalam kitaran kejadian, ais yang mencair akan mengakibatkan kenaikan paras laut lalu boleh mengubah taburan jisim Bumi dengan lebih jauh lagi.
Kajian terbaru itu diketuai oleh penyelidik di Universiti Kebangsaan Seoul dan telah diterbitkan dalam jurnal Geophysical Research Letters.
“Pergerakan putaran Bumi sebenarnya banyak berubah,” kata Ki-Weon Seo, pakar geofizik di Universiti Kebangsaan Seoul.
“Kajian kami menunjukkan bahawa antara punca yang berkaitan dengan iklim ialah berkaitan dengan pengambilan air dari bawah tanah. Ia menjadi kesan terbesar terhadap pergerakan Bumi dari paksi tersebut,” tambahnya lagi.
Kutub putaran bumi ialah titik di sekeliling planet berputar dan paksi akan terkeluar jika ia adalah objek fizikal. Seperti sebuah paksi pada glob yang berputar di dalam kelas.
Kedudukan Bumi tidak sama dengan geografi Bumi

Tidak sama seperti utara dan selatan dalam geografi yang kekal dalam kedudukan tetap. Kutub putaran Bumi berbeza berbanding kerak, satu proses yang dipanggil gerakan kutub.
Pengagihan air di Bumi mempengaruhi cara jisim diagihkan. Jadi apabila air diambil dari satu bahagian planet, maka paksi mula bergerak dan bergoyang.

Kajian pada tahun 2016 mendapati, pengagihan air di Bumi mempunyai keupayaan untuk mengubah kedudukan paksi planet.
Pada masa itu, para penyelidik berkata pencairan ais telah mengubah taburan ini. Tetapi kini sudah jelas bahawa pengambilan air minuman oleh manusia antara faktor yang bertanggungjawab.
Manusia telah mengekstrak atau mengambil air dari bawah tanah bagi tujuan minuman dan pengairan tanaman.
Kajian terbaru ini merujuk kepada dapatan kajian sebelumnya yang pernah diterbitkan oleh sekumpulan pakar Belanda pada tahun 2010.
Pasukan itu mendapati manusia mengepam 2,150 gigaton air bawah tanah bersamaan dengan lebih daripada 0.24 inci kenaikan paras laut, dari 1993 hingga 2010.
Pasukan penyelidik dari Korea itu telah melihat perubahan yang diperhatikan berlaku dalam kutub putaran Bumi dan pergerakan air.
Selain itu, bongkah ais dan glasier juga dipertimbangkan sebagai faktor dalam penyelidikan tersebut. Mereka juga menambah dalam senario yang berbeza berkenaan pengagihan semula air bawah tanah.
Lokasi air bawah tanah penting untuk mengetahui berapa banyak ia boleh mengubah hanyutan kutub, menurut pasukan penyelidik itu lagi.
Mengagihkan semula air dari latitud pertengahan kawasan antara Tropic of Cancer dan Tropic of Capriconr dapat memberikan kesan yang lebih besar pada kutub putaran.
Semasa tempoh kajian, air yang paling banyak diagihkan semula adalah di barat Amerika Utara dan barat laut India. Di mana kedua-duanya berada pada garis lintang tengah.
Percubaan untuk memperlahankan kadar penyusutan air bawah tanah secara teorinya boleh mengubah pergerakan dalam hanyutan kutub. Namun ia mungkin terjadi jika pendekatan pemuliharaan tersebut dikekalkan untuk beberapa dekad.
Sumber: Daily Mail