Betina Atau Jantan, Jantina Haiwan Mana Lagi Afdal Nak Buat Korban? Ini Jawapan Mufti
Pada 29 Jun nanti, seluruh umat Islam di dunia bakal menyambut Hari Raya Aidiladha. Hari Raya Aidiladha atau lebih dikenali sebagai ‘Raya Korban’ merupakan salah satu perayaan terbesar bagi penganut beragama Islam.
Kebiasaannya, umat Islam yang berkemampuan juga akan melaksanakan ibadah korban haiwan atau binatang Al-An’am pada Raya Korban. Namun, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipertimbangkan bagi pemilihan haiwan sembelihan.
Kriteria-kriteria ini juga menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan orang awam, antaranya jantina haiwan mana yang lagi afdal untuk dijadikan haiwan korban.
Bagi menjawab persoalan di atas, molek kiranya kita serahkan kepada alim ulama untuk bahaskan. Jadi, kali ini kami bawakan perbahasan daripada Pejabat Mufti Wilayah dan kami kongsikan jawapan kepada persoalan di atas dengan anda semua dibawah.
Semoga bermanfaat.
Jantina Haiwan Korban Yang Utama

Soalan:
Assalammualaikum. Manakah jenis jantina yang lebih afdal untuk dijadikan haiwan korban? Mohon pencerahan SS Mufti.
Ringkasan Jawapan:
Menurut fuqaha diharuskan sembelihan korban daripada binatang ternakan jantan mahupun betina. Namun, pemilihan haiwan yang paling utama adalah daripada jenis jantina jantan yang tidak banyak mengawan.
Huraian Jawapan:
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Para ulama bersepakat bahawa haiwan korban daripada jenis jantina jantan dan betina boleh dijadikan sembelihan korban, namun yang afdal (utama) adalah haiwan daripada jenis jantina jantan berdasarkan hadis berikut:[1]
BACA JUGA: Boleh Ke Buat Ibadah Korban Untuk Ahli Keluarga Yang Sudah Meninggal? Ini Jawapan Dr. Zul
Hadis yang diriwayatkan daripada Anas RA berkata :
قَالَ: «ضَحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ،
Maksudnya: “Rasulullah SAW berkorban dengan dua ekor jantan kibas (kambing biri-biri) putih kehitaman lagi bertanduk,
Riwayat Muslim 1966
Sementara itu, al-Khatib al-Syirbini membahaskan keutamaan bagi jantina haiwan korban:[2]
(وَيَجُوزُ ذَكَرٌ وَأُنْثَى) أَيْ التَّضْحِيَةُ بِكُلٍّ مِنْهُمَا بِالْإِجْمَاعِ، وَإِنْ كَثُرَ نَزَوَانُ الذَّكَرِ وَوِلَادَةُ الْأُنْثَى. نَعَمْ التَّضْحِيَةُ بِالذَّكَرِ أَفْضَلُ عَلَى الْأَصَحِّ الْمَنْصُوصِ؛ لِأَنَّ لَحْمَهُ أَطْيَبُ كَذَا قَالَ الرَّافِعِيُّ: وَنُقِلَ فِي الْمَجْمُوعِ فِي بَابِ الْهَدْيِ عَنْ الشَّافِعِيِّ أَنَّ الْأُنْثَى أَحْسَنُ مِنْ الذَّكَرِ؛ لِأَنَّهَا أَرْطَبُ لَحْمًا وَلَمْ يَحْكِ غَيْرَهُ، وَيُمْكِنُ حَمْلُ الْأَوَّلِ عَلَى مَا إذَا لَمْ يَكْثُرْ نَزَوَانُهُ، وَالثَّانِي عَلَى مَا إذَا كَثُرَ.
“Para ulama bersepakat tentang keharusan korban dengan binatang ternakan jantan dan betina walaupun haiwan jantan yang sering mengawan dan haiwan betina sering beranak. Benar, haiwan korban jantan lagi afdal berdasarkan pendapat yang lebih sahih, sepertimana yang dinaskan(nukilan fatwa Imam Syafi’i) kerana dagingnya lebih baik seperti yang dinyatakan oleh al-Rafi’i. Terdapat pandangan Imam al-Syafi’i yang dinukilkan oleh kitab al-Majmu’ dalam bab binatang korban bahawa beliau menyatakan binatang betina lebih afdal daripada jantan kerana dagingnya lebih lembut, namun pendapat ini tidak diriwayatkan selain daripada al-Nawawi. Pandangan yang pertama boleh ditakwilkan jika haiwan korban jantan tidak sering mengawan (maka ia lebih afdal dijadikan korban). Manakala pandangan kedua ditakwilkan jika haiwan jantan yang sering mengawan (maka haiwan betina lebih afdal dikorbankan)”.
Kesimpulannya, sembelihan haiwan korban daripada jantina betina mahupun jantan adalah harus. Namun, pemilihan haiwan jantina jantan lebih afdal kerana dagingnya lebih elok dengan mengutamakan haiwan jantan yang tidak banyak mengawan.
Wallahu A’lam