PUTRAJAYA, 2 JULAI 2023 – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, DatukSeri Mohamad bin Sabu, akan mengetuai delegasi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi lawatan kerja ke Rom, Itali dan Budapest, Hungary bermula hari ini sehingga 8 Julai 2023.
Semasa di Rom, Itali, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan menghadiri Sidang Pleno Persidangan Food and Agriculture Organization(FAO)Ke-43 yang merupakan platform bagi setiap ketua delegasi menyampaikan kenyataan negara (country statement) di bawah agenda Review of the State of Food and Agriculture. Tema bagi agenda pada tahun ini ialah “Water resources management for the four betters: better production, better nutrition, better environment and better life, to achieve Agenda 2030 and the Sustainable Development Goals”.
Dalam tempoh Persidangan FAO ini, Mohamad akan mengadakan pertemuan dan mesyuarat dua hala ke atas rakan sejawat, TYT Francesco Lollobrigida, Menteri Pertanian, Kedaulatan Makanan dan Perhutanan, Itali. Mesyuarat ini bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama dalam sektor pertanian termasuk kerjasama ekonomi, pelaburan dan teknikal. Pertemuan ini juga akan digunakan sebagai peluang untuk meneroka akses pasaran baharu bagi produk pertanian negara dalam usaha meningkatkan keseimbangan perdagangan hasil pertanian antara kedua-dua negara.
Selain itu, pertemuan bersama TYT Dr. Qu Dongyu, Ketua Pengarah FAO juga akan diadakan bagi perbincangan mengenai isu berkaitan bidang pertanian dan keterjaminan makanan serta nutrisi global di samping mengukuhkan kerjasama strategik antara Malaysia dan FAO dalam pelbagai sektor berkaitan pertanian.
Lawatan kerja ini diteruskan ke Budapest, Hungary pada 6 Julai 2023 bagi mesyuarat dua hala dengan TYT István Nagy, Menteri Pertanian Hungary dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pertanian kedua-dua negara.
Pemeteraian MoU ini akan mengukuhkan hubungan dan kerjasama dalam bidang pertanian, meningkatkan kemahiran teknikal dan kepakaran pegawai, memudahcara akses pasaran produk pertanian Malaysia ke Hungary serta membolehkankedua-dua negara merangka program-program kerjasama baharuyangbersesuaian.
Mohamad turut dijemput untuk menyampaikan ucap tama di Majlis Penganugerahan Program Doktor Falsafah di Hungarian University of Agricultureand Life Sciences (MATE).