SPR Terima Notis Pembubaran Rasmi DUN 6 Negeri
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menerima notis pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN), Dewan Undangan (DU) dan Dewan Negeri (DN) yang ke-14 dari enam negeri.
Enam negeri tersebut ialah Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang bakal menuju Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Setiausaha SPR, Dato’ Indera Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan berkata, kesemua notis pembubaran rasmi tersebut diterima daripada Speaker DUN, DU dan DN masing-masing.
“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan satu Mesyuarat Khas pada 5 Julai (hari ini).
“Mesyuarat Khas tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh yang akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRU DUN Ke-15 seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut,” katanya.
Tambahnya lagi, justeru satu sidang media akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Khas tersebut.
Sumber: Kenyataan media SPR