Siakap Keli

Kesihatan Mental: Ia Juga Perlukan Penglibatan Satu Kampung!

Warga Emas Dan Pasangan Berkahwin Yang Berkeluarga Lebih Cenderung untuk Berasa Bahagia Berbanding Kumpulan Lain, Mengikut Tinjauan Gardenia KL

Shah Alam, 28 Jun 2023 – Ungkapan “Ia memerlukan penglibatan seluruh kampung untuk membesarkan seorang anak” (It takes a village to raise a child) sering dikaitkan dengan ekosistem yang ideal untuk membesarkan kanak-kanak dengan baik secara menyeluruh.

Tinjauan dan perbincangan panel Gardenia KL Wellness Begins At Home 2023 mendedahkan bahawa ia juga memerlukan penglibatan satu kampung untuk mewujudkan persekitaran yang positif bagi menyokong kesihatan mental seseorang. Ini termasuk keluarga dan masyarakat sekeliling.

Menurut tinjaun ini juga, 19% responden berasa “sangat bahagia”, manakala 35% berasa” berpuas hati tetapi tidak begitu bahagia”. Sementara itu 40.3% responden “masih berusaha” ke arah mencapai kebahagiaan, dan selebihnya iaitu 5.7% responden berasa “hidup langsung tidak bahagia” tentang kehidupan mereka pada masa ini.

“Emosi-emosi ini agak normal kerana kita semua manusia. Walau bagaimanapun, ia tidak lagi normal apabila emosi ini menjejaskan keupayaan kita untuk menjalankan fungsi seharian atau apabila tugas yang mudah menjadi terasa amat mencabar untuk disempurnakan. Perubahan tingkah laku ini adalah petunjuk yang seseorang itu perlu mendapatkan bantuan,” jelas Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar.

Analisa lanjut terhadap dapatan tinjauan mendapati bahawa warga emas berumur 56 tahun ke atas (44%) dan responden yang sudah berkahwin dan berkeluarga (33.1%) paling cenderung untuk berasa bahagia berbanding kumpulan responden yang lain. Faktor persamaan antara kedua-dua kumpulan responden ini ialah kehadiran sistem sokongan, dari segi pasangan atau ahli keluarga.

“Keluarga amat penting. Ia tidak semestinya bermaksud ahli keluarga yang mempunyai pertalian darah sahaja. Ia boleh meluas kepada keluarga di tempat kerja dan juga dalam komuniti. Bagi saya, kami memandang antara satu sama lain dalam komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai keluarga.

“Sebagai contoh, jika mana-mana ibu bapa dalam komuniti kita tidak sihat dan anak OKU mereka memerlukan bantuan, kami sedia membantu kerana kami memahami keperluan mereka,” kata Pengasas We&I Art, Zuraini Anuar, yang merupakan ibu tunggal kepada tiga anak, dimana salah seorang daripadanya adalah di dalam spektrum autisme.

Jaguh pelumba basikal trek Malaysia, Dato’ Azizulhasni Awang, yang juga salah seorang ahli panel dalam perbincangan Gardenia KL Wellness Begins At Home 2023, berkongsi mengenai sistem sokongannya.

“Waktu saya perlu menjalani pembedahan jantung adalah masa yang sangat mencabar bagi saya; secara emosi saya berada di tahap paling rendah. Saya amat bersyukur kerana mempunyai sistem sokongan yang begitu kuat daripada isteri, anak-anak dan keluarga saya serta rakan sepasukan dan jurulatih saya.

“Saya juga mengambil inisiatif untuk mendapatkan bantuan dan ini membantu saya melalui masa yang mencabar ini. Begitu juga, tempoh ketika saya berjauhan dengan keluarga adalah satu tempoh yang mencabar, tetapi saya mendapati ia penting untuk sering berkomunikasi, dan ianya dipermudahkan dengan teknologi perhubungan yang ada. Pendekatan lain yang saya ambil ialah duduk bersama pasukan dan jurulatih saya untuk sesi meluahkan sebarang perasaan samada emosi sedih atau kecewa. Ia amat membantu apabila kita berkongsi dengan orang yang kita percayai,” kata pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu.

Untuk menonton video penuh perbincangan Gardenia ‘Wellness Begins at Home’, layari Facebook dan Youtube @GardeniaKL.

Jika anda atau seseorang yang anda kenali mengalami krisis kesihatan mental, sila hubungi MIASA melalui www.miasa.org.my yang menawarkan penilaian dan perundingan kesihatan mental, perkhidmatan kaunseling, terapi rohani, penilaian terapeutik, perkhidmatan psikologi dan sokongan rakan sebaya. Secara alternatif, hubungi talian bantuan 24 jam MIASA di 1-800-820-066.

Mengenai Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL)

Gardenia KL telah ditubuhkan pada tahun 1986. Pada masa kini, ia adalah pengeluar roti terkemuka di Asia Tenggara. Selepas lebih 35 tahun, Gardenia KL mengendalikan kedai roti di Malaysia dan mengeluarkan 59 jenis produk setiap hari termasuk pelbagai jenis roti, roti gulung, kek, wafel dan produk lain seperti sapuan, mi kuning dan mi segera.

Setiap hari, Gardenia menghantar roti segar percuma kepada lebih 80 organisasi kebajikan seperti rumah orang tua, rumah anak yatim, pusat dan sekolah untuk golongan kurang upaya, lapan daripadanya telah berada dalam senarai penghantaran Gardenia KL sejak 1991.

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.