Otak Manusia Semakin Mengecut, Tahap IQ Semakin Berkurang – Kajian
Seorang pakar di Britain memberi amaran bahawa otak manusia semakin kecil selain tahap IQ semakin merudum sejak 50 tahun lalu akibat diet yang tidak seimbang, lapor Daily Star.
Profesor Michael Crawford berkata, kemerosotan sel kelabu kecil itu boleh membawa kepada senario kiamat di mana manusia akan lenyap.
Pengarah Insitut Kimia Otak dan Pemakanan Manusia telah menyalahkan kejadian itu atas faktor kegagalan manusia untuk memakan minyak ikan yang mencukupi.
Prof Craword memberitahu webinar Food for the Brain Foundation: “IQ manusia telah berkurang sejak tahun 1970, dan ia benar-benar serius kerana jika itu berterusan, maka ia boleh menghapuskan homo sapiens.
“Terdapat cerita yang hilang tentang kepentingan pengambilan makanan bagi perkembangan otak.”
Menurutnya, tiada dasar atau cadangan dari kerajaan yang berfaedah bagi membantu perkembangan otak tersebut.
“Ini semua tentang pertumbuhan badan, dan terus terang pertumbuhan badan bukanlah kisah homo sapiens. Kisah homo sapiens adalah otak,” tambahnya lagi.
Beliau berkata, saiz otak manusia moden kini purata sekitar 17% lebih kecil daripada organ manusia yang terdahulu.
“Ia benar-benar sangat penting kerana jika tidak melakukan perubahan ini, populasi homo sapiens akan semakin berkurang.
“Bukan hanya IQ yang berkurang, terdapat bukti yang menunjukkan tentang pengecutan otak. Ini perlu dititik beratkan kerana keadaan menjadi semakin kucar-kacir,” katanya lagi.
Selain itu, beliau juga berkata bahawa kejadian itu akan mempertaruhkan masa depan anak-anak di masa depan kelak.
Kajian besar itu telah dijalankan oleh institut di Indonesia dan mendapati hampir dua juta kanak-kanak mengalami masalah perkembangan mental. Namun kejadian itu tidak berlaku di perkampungan nelayan.
Prof Crawford berkata adalah penting bagi wanita mengekalkan diet marin yang kaya dengan omega-3 yang merupakan komponen utama bagi otak manusia.
Ia perlu dilakukan dalam jangka masa yang panjang bagi membantu perkembangan otak bayi melalui penyusuan susu ibu.
Dia menambah: “Jaringan makanan marin cenderung dilupakan pada hari ini, tetapi ia sangat penting bagi perkembangan otak.”
Sumber: Daily Star