Pelebaran Jalan Di Persiaran Mokhtar Dahari Dijangka Siap Akhir Tahun Ini
SHAH ALAM, 5 Julai (Bernama) — Kesesakan trafik di Persiaran Mokhtar Dahari terutamanya pada waktu puncak dapat diatasi menerusi projek pelebaran jalan yang dijangka siap akhir tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Izham Hashim berkata melalui peruntukan RM3 juta daripada kerajaan negeri, projek itu melibatkan penambahan satu lorong sejauh satu kilometer di kedua-dua arah jalan, sebagai langkah jangka pendek mengatasi masalah berkenaan.
“Untuk penyelesaian jangka panjang, kita akan tambah satu lagi lorong di kedua-dua hala memandangkan jalan itu merupakan jalan utama selain lokasi pertembungan dengan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).
“Projek jangka masa panjang itu akan berjalan dua tahun lagi dengan anggaran kos bernilai RM20 juta termasuk kos utiliti ditanggung Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan syarikat Teguh Mantap yang memajukan kawasan berkenaan,” katanya selepas meninjau kerja pelebaran jalan di Puncak Perdana di sini hari ini.
Sementara itu, mengenai projek Turapan Mega Selangor oleh kerajaan negeri melibatkan 118 jalan di seluruh Selangor, beliau berkata perlaksanaan projek tersebut kini telah mencapai 25 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung bulan ini.
“Pada bulan Jun banyak proses perolehan, bulan ini banyak kerja-kerja pelaksanaan akan bermula dan ia masih mengikut perancangan dan garis masa ditetapkan,” katanya.
Izham memaklumkan sejumlah RM5.2 juta dibelanjakan kerajaan negeri bagi memasang 752 lampu diod pemancar cahaya (LED) di seluruh negeri itu yang mula dilaksanakan sejak tahun lepas dan dijangka siap sepenuhnya pada hujung bulan ini.
“Kita mendapat maklum balas yang baik daripada pengguna jalan kerana persekitaran lebih terang sekali gus dapat mengelakkan kemalangan dan sebarang kejadian bahaya,” katanya.
BACA: Pakai Satu Bahan Je, Ini Tips Mudah Bersih Minyak Masak Tumpah Atas Lantai
Sumber: Bernama