Siakap Keli
coco lee meninggal dunia
Kredit: Facebook Coco Lee

Penyanyi Pop Terkemuka, Coco Lee Meninggal Dunia

Penyanyi Pop Terkemuka, Coco Lee Meninggal Dunia

Penyanyi Amerika kelahiran Hong Kong, Coco Lee dilapor meninggal dunia hari ini pada usia 48 tahun, lapor The Straits Times.

Menurut hantaran di Instagram oleh kakak mendiang, Nancy dan Carol, Coco dilaporkan sudah sekian lama bertarung dengan masalah kemurungan yang dialaminya.

“Dengan penuh rasa sedih, kami ingin memaklumkan khabar duka mengenai kakak kami, Coco. Dia berdepan dengan situasi sukar dan masalah kemurungan yang dialami sejak sekian lama menjadi semakin teruk kebelakangan ini.

“Walaupun Coco mendapat bantuan profesional dan berjuang habis-habisan untuk mengatasi kemurungan, malangnya dia gagal bertahan,” kata kakaknya.

Kata kakaknya lagi, Coco dibawa ke hospital untuk menerima rawatan dan pasukan penyelamat cuba menyelamatkannya daripada koma.

Bagaimanapun, mendiang menghembuskan nafas terakhir pada Rabu.

Dilahirkan dengan nama Fereen Lee, mendiang merupakan bintang Mandopop pertama yang berjaya memasuki pasaran muzik Amerika Syarikat.

Menurut The Straits Times lagi, Coco memulakan karier muziknya seawal usia 19 tahun apabila melangkah masuk ke dunia Mandopop pada 1994.

Ketika itu, beliau telah mengeluarkan album debut dengan menampilkan vokalnya yang mantap, tarian yang lincah dan imej yang ceria.

Selain itu, dengan  julat vokal yang luas mencecah tiga oktaf, mendiang turut mendapat julukan ‘Mariah Carey Asia’ daripada peminat muzik global.

Bukan itu sahaja, mendiang juga pernah menjuarai rancangan realiti tv China, I Am A Singer untuk musim keempat pada 2016.

Coco Lee turut dikenali sebagai penyenyi lagu tema bagi filem Disney, Mulan (2020) dan filem Lee Ang yang berjudul Crouching Tiger, Hidden Dragon (2000).

Menurut kakaknya, Coco berhempas-pulas selama ini bagi membuka jalan buat semua penyanyi baharu dari China untuk menembusi pasaran antarabangsa.

”Kami berharap semua orang bukan setakat merindui Coco, tetapi turut berkongsi senyuman cerianya, melayan semua orang dengan adil, baik dan penuh kasih sayang. Malah, kami berharap anda meneruskan impian mendiang yang mahu semua orang merasai kasih sayang dan kebahagiaannya.”

BACA: Pakai Satu Bahan Je, Ini Tips Mudah Bersih Minyak Masak Tumpah Atas Lantai

Anda atau sesiapa sahaja yang berdepan dengan masalah tekanan emosi atau kemurungan disaran untuk mendapatkan rawatan profesional.

Selain itu, anda turut boleh berkongsi situasi, masalah atau dilema yang dihadapi dengan menghubungi sukarelawan terlatih Befrienders.

Befrienders adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu kepada semua yang memerlukan bantuan.

Hubungai Befrienders di talian 03-76272929 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan. Panggilan adalah percuma.

Sumber: The Straits Times

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.