Hukum Alunkan Azan Tidak Mengikut Tajwid, Ini Kata Mufti
Dalam Islam, terdapat beberapa perkara yang hanya boleh dilakukan oleh orang lelaki seperti melaungkan azan di masjid. Walaupun pada asasnya, azan itu mempunyai beberapa ayat yang dilaungkan namun ia juga ada harakat dalam setiap ayat.
Sama seperti ayat al-Quran, setiap pembaca perlu mematuhi harakat yang ditetapkan supaya makna (ayat bahasa Arab) dalam kitab suci itu tidak ‘lari’. Pun begitu, bagaimana pula dengan laungan azan? Adakah perlu untuk mengikut tajwid dan harakat seperti bacaan al-Quran?
Ikuti perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di bawah ini untuk mengetahui jawapan kepada persoalan itu.
Berikut perkongsiannya:
BACA: Apa Hukum Doa Diri Dimatikan Kerana Sakit?
IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-771: HUKUM MENGALUNKAN AZAN TIDAK MENGIKUT TAJWID

Soalan:
Assalamualaikum Datuk Mufti. Saya ingin bertanya adakah mengalunkan azan juga terikat dengan hukum tajwid dan bagaimana pula hukum azan yang tidak mengikut hukum tajwid? Terima kasih.
Ringkasan Jawapan:
Hukum tajwid dalam mengalunkan azan berbeza dengan membaca al-Quran. Para fuqaha tidak menetapkan hukum tajwid khusus bagi alunan azan sepertimana al-Quran. Hukum menjaga hak-hak huruf seperti makhraj dan sifat huruf adalah sunat. Selain itu, wajib bagi muazin untuk menjaga lafaz azan supaya tidak mengubah makna.
Oleh yang demikian, menjaga kesempurnaan dalam mengalunkan azan adalah lebih dikhususkan kepada menjaga panjang dan pendek serta dari sudut melagukan azan tersebut. Majoriti ulama berpandangan makruh hukumnya untuk sengaja memanjangkan(tamtit) dan melagukan (talhin) azan yang mana semua ini tidak dilarang dalam bacaan al-Quran.
Huraian Jawapan:
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat serta mereka yang mengikut jejak langkah baginda hingga hari kiamat
Para fuqaha tidak meletakkan hukum tajwid yang khusus dalam melaungkan azan sepertimana penjagaan hukum tajwid ketika membaca al-Quran. Dalam membaca al-Quran, dituntut untuk memanjangkan huruf mad pada beberapa tempat seperti tempat yang mempunyai hukum mad ‘Arid li al-sukun. Namun dalam alunan azan, makruh memadkan azan melebihi kadar yang ditetapkan. Hukum ini berdasarkan kenyataan Imam Khatib al-Syirbini dalam karyanya:
يُكْرَهُ تَمْطِيطُ الْأَذَانِ: أَيْ تَمْدِيدُهُ وَالتَّغَنِّي بِهِ
Maksudnya: “Makruh memanjangkan azan iaitu memanjangkan mad dan melagu-lagukan lafaznya”.
(Rujuk al-Mughni al-Muhtaj: 1/325)
Oleh yang demikian, seorang muazin atau bilal itu dituntut untuk memelihara hak-hak huruf pada lafaz azan seperti penjagaan makhraj dan sifat-sifat hurufnya. Hal ini supaya azan yang dilafazkan itu dalam keadaan baik dan sempurna. Menurut sheikh al-Tarmasi:
المؤذنين الجهال منهم، لا يعتنون بأداء حق ما للحروف من المخارج والصفات
Maksudnya: “(Kesalahan) yang dilakukan oleh para muazin yang jahil ialah mereka tidak mengambil berat dalam menyebut hak-hak huruf dari segi makhraj dan sifat-sifatnya.”
(Rujuk Hasyiah al-Tarmasi: 2/488)
Merujuk kepada kenyataan di atas, dapat difahami bahawa memelihara sifat huruf dalam azan merupakan satu tuntutan yang perlu dititik beratkan. Tambah Sheikh al-Tarmasi lagi, seseorang yang melaungkan azan hendaklah menjauhi beberapa kesalahan dalam azan yang membawa kepada perubahan makna seperti memanjangkan huruf hamzah(أ) pada kalimah أَشهد dan huruf ba’(ب) pada kalimah أكبر. Menurut Ibn Hajar pula, seorang muazin perlu menghindari dari memanjangkan huruf alif pada kalimah (الله) sepertimana dalam kenyataannya:
ومن مد ألف الله والصلاة والفلاح لأن الزيادة في حرف المد واللين على مقدار ما تكلمت به العرب لحن وخطأ
Maksudnya: “Antara kesalahan yang dilakukan oleh muazin ialah memanjangkan huruf alif(ا) pada kalimah Allah(الله), al-solah(الصلاة) dan al-falah(الفلاح) kerana penambahan pada huruf mad dan lin ini melebihi kadar yang diucapkan oleh orang Arab merupakan satu kesalahan dan kesilapan”
(Rujuk al-Minhaj al-Qawim: 80)
Selain itu, makruh juga bagi mereka yang memanjangkan azan melebihi kadar harakat yang sepatutnya meskipun perbuatan tersebut tidak mengubah makna pada lafaz azan. Antara kadar yang telah ditetapkan ialah tidak melebihi enam harakat mengikut pandangan muktamad. Oleh itu, jelaslah bahawa makruh bagi seorang muazin memanjangkan atau memadkan azan melebihi kadar harakat yang dibenarkan.
Kesimpulan:
Hukum tajwid dalam mengalunkan azan berbeza dengan membaca al-Quran. Para fuqaha tidak menetapkan hukum tajwid khusus bagi azan sepertimana al-Quran. Hukum menjaga hak-hak huruf seperti makhraj dan sifat huruf adalah sunat. Selain itu, wajib bagi muazin untuk menjaga lafaz azan supaya tidak mengubah makna.
Oleh yang demikian, kesempurnaan azan bergantung kepada sebutan huruf yang tepat dan tidak memadkan pada huruf mad serta tidak memanjangkan huruf mad melebihi kadar yang ditetapkan. Para fuqaha bersepakat bahawa makruh memanjangkan (tamtit) perkataan (memadkan lebih dari kadarnya) di dalam azan dan juga melagukannnya. Namun perkara ini diharuskan dalam bacaan al-Quran.
Wallahu A’lam
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
BACA: Resipi Turun Temurun, Lelaki Ini Kongsi Cara Buat Lemang