Puas Hati, Wanita Gigih Buat Rumah, “Dari Pelan Lantai Sampai Tingkap, Semua Reka Sendiri”
Sudah menjadi rutin harian seorang manusia yang tidak lari daripada bermain-main dengan imaginasinya. Antara yang sering diimaginasikan kita semua adalah impian untuk memiliki rumah sendiri.
Apatah lagi, ramai juga yang membayangkan rumah yang bakal dibina mengikut pelan dan rekaan yang dibuat sendiri. Segala ceruk dan ruang rumah dibina sesuai dengan citarasa masing-masing.
Segalanya boleh diatur dari awal seperti rekaan seni bina rumah, pemilihan batu bata dan sebagainya. Berbeza dengan membeli rumah sudah siap, kita mungkin terpaksa menghadap keadaan rumah yang agak ‘basic dan default‘ buat sementara waktu.
Malah, kita tidak dapat mengubah rekaan asalnya sesuka hati, dikhuatiri mampu menjejaskan struktur rumah secara keseluruhan.
Namun, proses untuk ‘buat rumah sendiri’ ini sudah semestinya menjadi satu pengalaman yang rumit dan penuh ranjau kepada sesiapa sahaja.
Maklumlah, bukan semua tahu melukis atau menggunakan perisian AutoCard, jauh sekali belajar mahu menjadi arkitek mahupun jurutera.
Sungguhpun begitu, kehadiran pelbagai aplikasi pada masa sekarang dapat membantu anda untuk membina rumah mengikut citarasa anda.
Berdasarkan perkongsian daripada pengguna Facebook, Erieqa Elliana Rusli menerusi kumpulan Facebook, Tukang Apa Hari Ini, wanita tersebut berkongsi perjalanan membina rumahnya sendiri.
Berikut merupakan perkongsiannya:
Saya kongsi sini perjalanan saya buat rumah sendiri. Dari awal saya memang akan mengambil gambar. Catat setiap perbelanjaan. Uruskan order barang sendiri.

Reka pelan lantai dengan menggunakan aplikasi Floor Plan Creator. Sketch saya buat drawing draft, selepas itu lukis semula dengan menggunakan Samsung Note.
Untuk pilih warna dinding pula, cari kod warna cat dari Google. Selepas itu, saya gunakan ‘picker’ untuk warnakannya.
Memang saya banyak menggunakan Samsung Note, dari reka luaran sampailah reka dalaman. Tingkap pun saya reka sendiri.
Apabila rekaan sudah menjadi muktamad, saya mencetaknya. Kebanyakan idea diambil dari gambar-gambar seni bina dalam Google dan Pinterest.
Rumah asal dibuat pada hujung tahun 2015, manakala ibu rumah siap pada 2016. Penghujung 2016, saya telah berpindah masuk.
Ketika itu, saya mula mengumpul modal sedikit demi sedikit. Selepas hampir enam tahun, baru ada rezeki nak naik tingkat atas pula.
Yang penting, perancangan awal mesti jelas. Kalau ada matlamat yang jelas, kita mesti tekad dan berazam.
Buat slab atas ni banyak cabarannya, bocor teruk juga dahulu sebab kena salin waterproofing dan makan banyak modal.

Jadi, bumbung zink diletakkan buat sementara waktu bagi mengelakkan risiko ini. Kalau hari-hari hujan panas, lama-lama air masuk juga.

Cornice dalam kalau dah pasang, memang habislah. Oleh sebab itu, pengalaman itu penting. Memang penat apabila semua diuruskan sendiri tetapi hasilnya sangat berpuas hati. Alhamdulillah syukur.

Bagi sesiapa yang berminat untuk melihat perjalanan Erieqa Eliana dalam menyiapkan rumah idamannya, anda boleh mengikutnya di laman TikToknya (@erieqaelliana)
BACA: Jangan Terus Buang, Buat Benda Ini Jika Dapur Gas Tak Berfungsi
Sumber: Erieqa Elliana Rusli via Facebook (Tukang Apa Hari Ini)