Elak Makan Cendawan Liar, Ini Simptom-Simptom Keracunan Yang Wajib Anda Tahu
Bagi mendapatkan tubuh badan yang sihat, kita digalakkan untuk memakan makanan yang tidak memudaratkan tubuh badan seperti sayuran dan buah-buahan. Walaupun sememangnya ramai yang tidak gemar memakan sayur-sayuran, namun ia sememangnya memainkan peranan penting untuk kesihatan tubuh badan.
Bercakap mengenainya, pasti ramai juga yang gemar memakan cendawan bukan? Seperti yang diketahui terdapat pelbagai jenis cendawan yang dijual di pasaran dan boleh dimasak dengan pelbagai jenis masakan.
Bagaimanapun, apa yang perlu anda wajib tahu adalah tidak semua cendawan boleh dimakan kerana ada yang beracun.
Cendawan
Sebelum bercakap lebih lanjut mengenainya, mari kita selidiki dahulu mengenai cendawan.
Untuk pengetahuan, cendawan adalah sejenis kulat yang tumbuh di atas tanah atau sumber nutriennya.
Terdapat 2000 jenis spesies cendawan di dunia tetapi hanya 25 jenis sahaja yang boleh dimakan.
Di Malaysia pula, terdapat tujuh jenis cendawan yang ditanam.
Antara cendawan yang boleh dimakan adalah cendawan bunga kobis, cendawan jerami, cendawan tiram kelabu dan cendawan tiram puteh.
Selain itu, cendawan butang, telinga kera, shitake ling zhi dan jarum mas juga boleh dimakan.
Cendawan Beracun
Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Perak, 70 hingga 80% spesies cendawan adalah beracun kepada manusia.
Salah satu spesies cendawan beracun adalah yang dikenali sebagai Amanita liar. Walaupun rupanya sangat cantik tetapi apabila dimakan walaupun dalam kuantiti sedikit, racun amatoxinnya mampu membawa maut.

Keracunan yang melibatkan cendawan (juga dikenali sebagai mycetism) merujuk kepada kesan bahaya akibat memakan sebatian bertoksin yang terdapat dalam cendawan.
Toksin itu pula dikenali sebagai metabolit sekunder yang dihasilkan oleh kitaran biokimia dalam sel kulat.
7 Kategori Toksin Cendawan
Terdapat tujuh kategori toksin cendawan iaitu amatoxin, orellanus, gyromitrin, muscarine, asid ibotenic, psilocybin, dan coprine (disulfiram).
Sebab-Sebab Berlaku Keracunan
Sesetengah kes keracunan berlaku kerana cendawan dimakan mentah tanpa mengenal pasti spesies yang selamat dimakan.
Selain itu cendawan liar dikutip di lokasi yang tidak sesuai seperti padang, taman dan sebagainya yang terdedah kepada persekitaran yang tidak terkawal.
Keracunan juga boleh berlaku disebabkan oleh toksin semulajadi yang hadir dalam cendawan.
Di samping itu, ia juga terjadi kerana faktor perubatan seperti alergik. Kebiasaannya pengutip cendawan hanya mengenal pasti cendawan dari segi rupanya sahaja. Malah, berlaku kesilapan dalam pengecaman disebabkan kecuaian.
Cendawan yang rosak juga boleh mencemarkan hidangan disebabkan oleh pembiakan bakteria.
Simptom Keracunan Cendawan
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), toksin atau racun dari cendawan liar boleh menyebabkan gejala iritasi gastrointestinal seperti loya, muntah dan cirit biri, gejala neurologikal seperti kecelaruan fikiran (mental confusion), halusinasi, gangguan kordinasi otot (muscle incoordination) dan sawan serta gejala lain seperti demam dan sakit kepala.
Bagi yang belum tahu, sebahagian toksin mempunyai kesan jangka panjang seperti kegagalan buah pinggang. Manakala, kesan toksin cendawan yang teruk boleh menyebabkan kematian.

Susulan itu, anda dinasihatkan untuk membeli cendawan yang diproses atau dibungkus yang dijual secara komersil di pasaran.
Anda juga perlu memilih cendawan daripada spesies yang selamat dimakan. Sila rujuk pakar terlebih dahulu sebelum makan.
Paling penting, jangan kutip cendawan sembarangan sekiranya kurang arif mengenai pemilihan cendawan daripada spesies yang selamat dimakan.
Malah, jangan makan cendawan yang dibeli di pasaran tanpa dimasak terlebih dahulu pada suhu yang betul bagi mengelakkan keracunan.
BACA: Lelaki Ajar Cara Bersihkan Ketam Yang Betul, Elak Terkena Keracunan Makanan
Sumber: Jabatan Kesihatan Negeri Perak