Ismahalil Terlepas Hukuman Mati
Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah daripada tuduhan mengedar dadah jenis kanabis dua tahun lalu sekali gus membuatkan beliau terlepas hukuman mati, lapor Sinar Harian.
Lapor Sinar Harian, keputusan itu diputuskan oleh Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin selepas Ismahalil, 50, berhasil menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Dalam kes tersebut peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar dan Adi Zulkarnain Zukafli mewakili Ismahalil, manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad.
Sewaktu keputusan diumumkan, Ismahalil yang memakai baju T dan berkopiah putih bertindak untuk memasukkan dirinya ke bawah kerusi kandang tertuduh.
Ismahalil didakwa kali pertama pada 6 Sepetember 2021 di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram.
Kemudian, dia mengaku tidak bersalah pada 21 Februari tahun lalu atas pertuduhan terbabit yang dilakukan di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju pada 5.35 petang, 27 ogos 2021.
Ismahalil dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Mahkamah Tinggi turut meminta Ismahalil untuk mebela dirinya atas tuduhan tersebut.
Pada 27 Februari lalu, Ismahalil menangis sambil memandang ke arah isteri dan anak-anaknya.
BACA: Bayi Berusia 22 Bulan Disyaki Positif Dadah Jenis Amphetamine Dan Metaphetamine
Diperintah bela diri
Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Jamil Hussin memerintah Ismahalil untuk membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ismahalil di akhir kes pendakwaan.
Muhammad Jamil, dalam penghakiman ringkasnya berkata mahkamah mendapati 22 paket dadah yang ditemukan dalam bilik tertuduh (Ismahalil) berada dalam kawalan dan jagaannya.
“Semasa serbuan di bilik itu, tertuduh sendiri mengambil beg, yang mengandungi dadah dari lantai dan memberinya kepada pegawai polis selepas ditanya sama ada terdapat barang salah.
“Kelakuan tertuduh yang mengambil sendiri beg itu dan dilihat berada dalam keadaan mencurigakan menunjukkan tertuduh mengetahui kewujudan dadah tersebut.
“Oleh itu, pihak pendakwaan berjaya membuktikan dadah berkenaan berada dalam kawalan tertuduh,” katanya dan menambah keterangan saksi-saksi pendakwaan tidak bercanggah dan boleh dipercayai.
Ismahalil kemudian memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.
Sumber: Sinar Harian