Siakap Keli
kisah B Sathianathan
Kredit BERNAMA

Belasungkawa B Sathianathan: Pernah Ingin Dikenang Jurulatih Berjaya

Belasungkawa B Sathianathan: Pernah Ingin Dikenang Jurulatih Berjaya 

Pada hari ini, dunia sukan bola sepak Malaysia dikejutkan dengan pemergian salah seorang legenda dalam kejurulatihan bola sepak iaitu B Sathianathan.

Berita pemergian mendiang dikongsikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Christopher Raj Aralanthu menerusi ciapannya di Twitter.

Sebagai tanda penghormatan kepada mendiang, SK pada hari akan berkongsikan serba sedikit berkenaan pencapaian dan sumbangannya dalam sukan bola sepak.

Mempunyai impian untuk menjadi seorang yang sentiasa dikenang

Terdahulu, sewaktu menjadi jurulatih buat pasukan Selangor FC, B Sathianathan pernah menyatakan hasratnya yang mahu dikenang sebagai seorang jurulatih.

Kenyataan itu pernah dibuat oleh B Sathianathan susulan timbul spekulasi bahawa khidmatnya sebagai jurulatih tidak akan diteruskan bersama skuad The Red Giants.

“Saya belum tahu akan kekal atau keluar tetapi saya sentiasa mahu dikenang sebagai jurulatih yang dapat kembalikan peminat ke stadium untuk melihat permainan yang menarik.

“Ketika saya mengambil alih, Selangor di kedudukan yang teruk, orang lupa tentang ini.

“Saya ingin melihat Selangor seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), menjadi pasukan yang dihormati pihak lawan,” memetik kembali katanya kepada Stadium Astro pada Ogos 2022 yang lalu.

Sepanjang beliau bergelar jurulatih pasukan Selangor, B Sathianathan telah berjaya memulihkan reputasi pasukan tersebut berbanding musim pada 2018 sebelumnya.

Optimis skuad kebangsaan mampu ke Piala Dunia

Bagi sukan bola sepak, layak melangkah ke Piala Dunia adalah satu fasa tertinggi yang mampu dikecapi mana-mana pasukan yang hebat, apatah lagi menjulang pialanya selaku juara dunia.

Apabila bercakap soal masa depan skuad kebangsaan, B Sathianathan pernah berpendirian sangat optimis bahawa Harimau Malaya mampu untuk ke Piala Dunia.

Perkara itu pernah dikongsikan oleh B Sathianathan selaku bekas jurulatih kebangsaan bagi skuad kebangsaan.

Menurut B Sathianathan, perjalanan untuk mencapai perkara itu perlu dilakukan dengan rapi serta penglibatan daripada semua pihak.

“Untuk skuad kebangsaan melayakkan diri ke Piala Dunia, ia bukan satu tugas yang mudah tetapi tidak mustahil. Semuanya memerlukan proses yang panjang.

“Pemegang taruh yang lain seperti kelab, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pendidikan dan ibu bapa turut memainkan peranan penting,” katanya kepada pemberita pada Disember tahun lalu.

Tambahnya, proses itu perlu bermula dari peringkat sekolah lagi di mana sukan bola sepak dijadikan sebagai satu budaya seperti yang diamalkan di Jepun dan Korea Selatan.

Sementara itu, B Sathianathan turut pernah berkata bahawa skuad Bawah 17 tahun (B-17) negara merupakan prospek utama dalam mengejar cita-cita tersebut.

Skuad itu perlu diasah dan didedahkan dengan persaingan yang lebih kompetitif di peringkat antarabangsa.

Kejayaan B Sathianathan

Seperti yang diketahui, Sathianathan adalah merupakan bekas ketua jurulatih bagi pasukan bola sepak kebangsaan dan pasukan bola sepak bawah 23 tahun.

Imbas kembali pada tahun 2007, Sathianathan yang baru sahaja dilantik sebagai jurulatih oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah berjaya menjuarai Pesta Bola Merdeka 2007.

Dalam perlawanan akhir, Malaysia berjaya mengalahkan Myanmar dengan keputusan gol 3-1.

Kejayaan Sathianathan yang seterusnya ialah membawa pasukan Malaysia ke perlawanan akhir dalam kejohanan Pesta Bola Merdeka pada 2008.

Dalam kejohanan itu juga, skuad kebangsaan berjaya memegang rekod tanpa bolos sepanjang kejohanan tersebut berlangsung.

Walau bagaimanapun, Malaysia akhirnya terpaksa akur kepada pasukan bawah 23 tahun Vietnam apabila kecundang dalam sepakan penalti dengan gol 6-5.

Pada Piala Malaysia 2009, Sathianathan pernah berjaya membawa pasukan Kelantan ke peringkat akhir, namun The Red Warriors kecundang 3-1 kepada Negeri Sembilan.

Perjalanannya tidak terhenti di situ apabila Sathianathan berjaya membuat ‘comeback’ dengan membawa Kelantan ke peringkat lebih tinggi iaitu Naib Juara Liga Super pada 2010.

BACA: Kini Terjawab, Ini Rupanya Video Asal Suara Gelak Semput Yang “Viral” Di TikTok

Pada tahun yang sama juga, atas bimbingan Sathianathan, Kelantan akhirnya berjaya mencapai kejayaan tertinggi dengan menjuarai Piala Malaysia setelah menewaskan Negeri Sembilan 2-1.

Pada tahun 2012, Sathianathan kemudiannya telah beralih ke pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ‘hasilnya’, ATM berjaya bergelar juara Liga Premier 2012.

Selain itu, pada tahun yang sama juga, ATM sekali lagi membuat kejutan selepas berjaya sampai ke peringkat akhir Piala Malaysia 2012 dengan menjadi naib juara selepas kalah kepada Kelantan FA dengan keputusan 3-2.

Pemergian mendiang sesungguhnya telah meninggalkan kesan yang mendalam bagi peminat dan juga pemain sukan bola sepak negara.

Sumber: Stadium Astro (1), Stadium Astro (2), Wikipedia

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.