Bagaimana Cara Kesan Lokasi Telaga Minyak Di Dasar Laut?
Baru-baru ini, Petronas Carigali Sdn Bhd, unit milik penuh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengumumkan enam penemuan minyak dan gas (O&G) di lima blok di kawasan luar pantai Sarawak.
Pakar menganggarkan bahawa terdapat berbilion-bilion tong rizab minyak yang belum diterokai oleh manusia di kawasan luar pantai.
Di pelantar benua Atlantik sahaja, yang bersempadan dengan bahagian tenggara Amerika Syarikat (US), saintis meramalkan terdapat antara 1.3 dan 5.6 bilion tong bahan hitam itu yang belum diterokai. Tetapi bagaimana kita boleh mencarinya?
Terdapat lima cara yang boleh digunakan untuk mengesan telaga minyak. Ketahuinya di bawah ini.
Lima cara kesan telaga minyak di dasar laut

1. Pemetaan Seismik
Kaedah yang paling popular dan meluas untuk mengesan rizab minyak di laut adalah menggunakan pemetaan seismik.

Ia boleh dicapai melalui penggunaan senapang udara, yang menghantar letupan sonik sehingga 250 desibel di bawah air dan gema yang berlaku berikutnya digunakan untuk memetakan rupa Bumi.
Gelombang bunyi akan kembali kepada penderia ultra-sensitif, bergantung pada jarak, penempatan dan ketumpatan pembentukan batuan.
Daripada data ini, saintis mengekstrapolasi lokasi kemungkinan rizab minyak bawah air.
2. Bahan letupan

Selain daripada alternatif pemetaan seismik, kita juga boleh menggunakan bahan letupan. Dengan cara melemparkan ke dalam laut, yang akan menghasilkan gelombang dan dentuman sonik serupa senapang udara.
Bagaimanapun ia mempunyai akibat yang tidak diingini dan tidak baik untuk hidupan laut yang berada di sekeliling.
3. Analisis sampel

Kaedah lain mengesan lokasi rizab minyak adalah dengan mengkaji batuan permukaan, sampel tanah dan formasi dan data didapati pada formasi bawah permukaan (laut).
Ia adalah kaedah ‘tradisi’ yang dilakukan iaitu mengumpul data dan sampel secara manual untuk dianalisis oleh penyelidik pihak syarikat cari gali berkenaan.
Bagaimanapun, kaedah ini agak ‘renyah’ kerana perlu dilakukan dengan begitu teliti kerana faktor risiko yang terdedah (kepada pengumpul sampel & yang terlibat).
Namun kini terdapat kaedah yang lebih moden seperti mengesan lokasi rizab minyak berdasarkan bantuan imejan dari satelit yang sudah tentu tiada sebarang risiko menanti.
4. Dron tanpa pemandu

Penggunaan dron adalah sebahagian daripada kajian yang dijalankan oleh Universiti Aberdeen di Scotland dan Bergen di Norway sebagai percubaan untuk melihat kawasan batu yang sebelum ini tidak boleh dicapai.
Ia boleh menghasilkan maklumat berharga tentang takungan permukaan bawah laut. Dalam pada itu, ia juga amat berguna apabila dicuba untuk memetakan rupa Bumi yang tidak diketahui di antara dua telaga minyak yang berbeza.
5. ‘Menghidu’
Satu lagi kaedah luar biasa untuk mengesan minyak adalah dengan ‘menghidu’ pembentukan hidrokarbon menggunakan peralatan yang dikatakan sebagai ‘hidung elektronik’ yang sensitif.

Alatan meter graviti yang digunakan mampu mengesan gelombang ‘naik dan turun’ yang tidak teratur pada medan graviti Bumi, yang dianggarkan disebabkan oleh aliran minyak yang mengganggu medan.
Begitu juga magnetometer yang dapat mengesan perubahan halus dalam medan magnet Bumi yang disebabkan oleh kejadian yang sama.
BACA: Petronas Carigali Umum Enam Penemuan Minyak Dan Gas Di Sarawak
Senarai 10 negara ada rizab minyak terbesar

Berikut adalah sepuluh negara teratas yang paling kaya dengan minyak mentah:
Venezuela
Venezuela merupakan negara yang mempunyai rizab minyak terbesar di dunia, yang mempunyai kira-kira lebih 300 bilion tong.
Saudi Arabia
Manakala, negara kedua memiliki rizab terbukti kira-kira 267 bilion tong.
Kanada
Kanada pula memiliki sekitar 171 bilion tong minyak mentah, kebanyakannya dalam bentuk bitumen dalam pasir minyak. Sebanyak 166.3 bilion daripada jumlah itu adalah pasir minyak.
Iran
Rizab minyak di Iran adalah sebanyak 208.6 bilion tong dan menghasilkan sekitar 2.39 juta tong setiap hari.
Iraq
Sementara itu, Iraq memiliki kira-kira 145 bilion tong, dengan pengeluaran sekitar 4.5 juta tong setiap hari.
Rusia
Rusia pula mempunyai kira-kira 80 bilion tong dalam rizab minyak mentah. Ia telah menghasilkan sekitar 9.4 juta tong setiap hari.
Emiriah Arab Bersatu (UAE)
Di samping itu, UAE mempunyai anggaran 111 bilion tong minyak mentah dan menghasilkan purata 2.7 juta tong setiap hari. Daripada jumlah ini, ia mengeksport 2.3 juta tong setiap hari.
Kuwait
Kuwait mempunyai kira-kira 101.5 bilion tong dalam rizab minyak. Negara itu mengeluarkan antara 2.4 juta dan 2.67 juta tong minyak setiap hari dan mengeksport kira-kira 1.7 juta tong sehari.
Amerika Syarikat (US)
US pula memiliki rizab sebanyak 68.8 bilion tong.
Libya
Yang terakhir, Libya mempunyai kira-kira 48.3 bilion tong minyak mentah dalam rizab. Namun ia adalah pengeluar yang agak kecil, dengan purata hariannya sekitar 1.2 juta tong.
Rizab minyak Malaysia bertahan 15 tahun lagi

Sementara itu, negara kita juga mempunyai rizab simpanan minyaknya sendiri yang dijangka dapat membekalkan bekalan dalam tempoh masa lebih 10 tahun dari sekarang.
Kalau nak tahu, rizab minyak di Malaysia dijangka dapat bertahan 15 tahun lagi, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Seperti yang pernah dilaporkan oleh Sinar Harian pada 29 Mac lalu, jangkaan itu dibuat berdasarkan pengiraan Indeks Hayat Rizab setakat 1 Januari 2022.
Jelasnya, anggaran rizab petroleum (2P) di Malaysia adalah sebanyak 6.9 bilion tong minyak setara.
Bagaimanapun, sekiranya pelaburan modal tinggi, penggunaan teknologi baharu dan landskap pelaburan yang stabil dan kompetitif, ia boleh dipertingkatkan lagi kepada lebih 40 tahun.
Sumber: petro-online, oil price, Sinar Harian