BN, PH Kedah Lancar Manifesto, Perkenal Calon Khamis Ini
ALOR SETAR, 25 Julai (Bernama) — Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kedah akan melancarkan manifesto dan memperkenalkan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 9 malam, Khamis ini di Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani.
Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata manifesto itu menyantuni semua golongan termasuk nelayan, pesawah, penoreh getah, perindustrian, pelancongan, belia serta wanita bagi membawa kestabilan dan kesejahteraan kepada rakyat Kedah.
Pada sidang media di sini hari ini, Mahdzir yang juga Pengerusi BN Kedah berkata setiap perkara di dalam manifesto itu akan dilaksanakan sekiranya BN dan PH berjaya membentuk kerajaan negeri pada PRN, 12 Ogos depan.
BACA JUGA: Bekas Kapten Pasukan Kedah Antara Calon PN Bakal Bertanding Untuk PRN – Sanusi
Beliau berkata pihaknya bersetuju mengadakan jelajah kepimpinan sepanjang tempoh berkempen dan satu jawatankuasa melibatkan kedua-dua gabungan akan ditubuhkan bagi menyelaras siri jelajah tersebut.
“Jawatankuasa itu akan menyelaras kedatangan pemimpin-pemimpin pusat ke Kedah dan menentukan lokasi terbaik untuk mereka berkempen,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan serta Pilihan Raya Kecil bagi Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak dengan hari penamaan calon pada Sabtu ini.
Sumber: BERNAMA