Pakailah Sabun Warna Apa Pun, Buih Tetap Warna Putih, Kenapa? Ini Jawapannya
Ada pelbagai jenis sabun ditawarkan dalam pasaran. Selain sabun tangan, sabun-sabun lain yang ada adalah seperti sabun pencuci pinggan dan pakaian, sabun pencuci lantai dan pelbagai jenis lagi.
Sabun-sabun ini ditawarkan dalam dua jenis bentuk, biasanya pepejal atau cecair, namun dalam pelbagai bentuk warna. Setiap warna pula datang dengan pelbagai deskripsi. Misalnya warna-warna tertentu dikaitkan dengan bau-bau tertentu. Manakala warna-warna yang dianggap warna premium, seperti warna emas pula didakwa lebih ‘berkuasa’, lalu dijual pada harga yang lebih tinggi.
Setiap hari, kita mengggunakan sabun dalam kebanyakan masa, terutamanya ketika membersihkan diri. Perasan atau tidak, walaupun produk-produk pencuci biasanya didatangkan dalam pelbagai warna, buih yang dihasilkan tetap berwarna putih.
Anda mungkin tidak pernah memikirkannya, mungkin kerana tiada keperluan pun, tetapi jika boleh bertanya, kenapa buih biasanya hanya wujud dalam warna putih?
Kenapa buih sabun warna putih?
Menurut Science ABC, kadar kepekatan pewarna yang digunakan untuk memberikan warna pada sabun atau syampu adalah sangat rendah.
Dengan erti kata lain, mereka hanya menggunakan sedikit pewarna untuk mewarnakan sabun kepada warna-warna tertentu.
Apabila kita menggosok sabun dengan menggunakan air untuk menjadikannya berbuih, jumlah pewarna yang sangat kecil itu hampir tidak kelihatan.
Oleh sebab itu, buih yang dihasilkan adakalanya hanya memiliki warna yang sangat pucat dan boleh dikatakan hampir tidak memiliki warna langsung.
Penyebaran cahaya antara faktor kenapa buih sabun berwarna putih
Cahaya putih, berdasarkan apa yang kita semua pelajari sewaktu di bangku sekolah adalah kombinasi daripada beberapa cahaya tampak.
Cahaya tampak ini pula memiliki panjang gelombang yang berbeza dan sudah semestinya, memiliki warna-warna yang berbeza.
Busa yang muncul selepas menggosokkan sabun pada tangan anda adalah rangkuman buih-buih kecil dalam kuantiti yang banyak.
Setiap buih sebenarnya adalah filem larutan sabun yang sangat nipis. Memandangkan sabun adalah bahan surfaktan (mampu mempengaruhi ketegangan permukaan air), ini akan merendahkan tahap ketegangan permukaan air.
Tahap ketegangan permukaan yang rendah telah menyebabkan peningkatan luas pemukaan bagi buih-buih yang kecil tadi.
Seterusnya, ini menyebabkan warna yang ada dalam filem makin kurang tersebar dan hampir mustahil untuk dikesan secara visual.
Manakala, busa akan kelihatan putih secara sepenuhnya ketika cahaya merentasi larutan sabun, cahaya tersebut perlu melalui kandungan buih-buih yang banyak.
Buih-buih ini akan menyebarkan cahaya ke pelbagai arah yang berbeza dan meyebabkan busa kelihatan berwarna putih.
BACA: Penantian Lebih 30 Tahun Terbalas, Bell Ngasri Bolot Dua Anugerah Berprestij
Sumber: Science ABC