Siakap Keli
gunung berapi terbesar sistem solar
Gambar: NASA

Tinggi 26km & Lebar 600km, Kenali Olympus Mons Gunung Berapi Tertinggi & Terbesar Sistem Solar

Tinggi 26km & Lebar 600km, Kenali Olympus Mons Gunung Berapi Tertinggi & Terbesar Sistem Solar

Gunung berapi adalah salah satu struktur semula jadi yang biasa ditemui di Bumi. Terdapat banyak gunung berapi yang popular dan masih aktif sehingga ke hari ini, antaranya adalah Gunung Sinabung dan Merapi di Indonesia.

Menurut Forbes, setakat ini terdapat sekurang-kurang 27 buah gunung berapi yang paling aktif di seluruh dunia. Selain Sinabung dan Merapi, antara gunung berapi paling aktif yang lain adalah Kilauea (Hawaii), Sakurajima (Jepun) dan Taal (Filipina).

Terdapat beberapa fakta menarik (atau menakutkan) mengenai gunung berapi, misalnya Indonesia memiliki paling banyak gunung berapi yang paling aktif iaitu enam gunung berapi.

Olympus Mons, gunung berapi tertinggi dan terbesar Sistem Solar

Selain itu, Gunung Berapi Etna di Itali pula merupakan gunung berapi paling aktif dan terbesar di benua Eropah. Manakala gunung berapi dengan tasik lava terbesar pula adalah Gunung Berapi Nyiragongo di Kongo.

Walau bagaimanapun, tahukah anda bahawa gunung berapi bukanlah struktur semula jadi unik yang hanya boleh ditemui di Bumi sahaja. Sebenarnya, gunung berapi juga turut wujud di planet-planet lain termasuk planet di dalam Sistem Solar kita.

Namun, yang paling menarik adalah, gunung berapi tertinggi dan terbesar dalam Sistem Solar sebenarnya bukan terletak di Bumi pun.

Untuk pengetahuan anda, gunung berapi tertinggi dan terbesar dalam Sistem Solar adalah Olympus Mons yang terletak di Marikh.

Olympus Mons adalah sebuah gunung berapi gergasi yang tinggi dan saiznya tidak mampu ditandingi oleh mana-mana gunung dan gunung berapi di Bumi.

Menurut Astronomy.com, Olympus Mons mempunyai ketinggian kira-kira 26 kilometer atau kira-kira tingga kali ganda ketinggian Gunung Everest (8.85 km). Namun begitu, yang paling mengagumkan adalah saiz atau kelebaran Olympus Mons dimana ia adalah 20 kali ganda daripada ketinggiannya.

Diameter gunung berapi terbesar di dalam Sistem Solar ini merentasi kawasan seluas kira-kira 600 kilometer, dari hujung ke hujung.

Sebagai perbandingan, jika Olympus Mons diletakkan di Bumi, saiznya adalah menyamai saiz Arizona di Amerika Syarikat. Jika diletakkan di Eropah pula, saiznya adalah menyamai saiz Perancis.

Perbandingan saiz Arizona dengan Olympus Mons.

Dalam satu kajian yang dibuat pada 2011, saintis menganggarkan isipadu bahan gunung berapi Olympus Mons bersamaan kira-kira 4 million kubik kilometer. Sekali lagi sebagai perbandingan, jumlah berkenaan adalah kira-kira 100 kali ganda daripada jumlah isipadu gunung berapi terbesar di Bumi, Gunung Loa di Hawaii.

Bagaimana saiz Olympus Mons boleh menjadi begitu besar dan gergasi berbanding gunung-gunung berapi di Bumi? Saintis menyimpulkan bahawa masa adalah faktor utamanya.

Olympus Mons adalah seperti perisai gunung berapi. Ia juga bermaksud ia melelehkan lava berbanding memuntahkan lava secara ganas hingga boleh menyebabkan bencana.  Gunung berapi terbesar di bumi juga bertindak seperti perisai, yang mana membenarkan kedua-dua gunung berapi ini terus berkembang.

Bagaimanapun, plat tektonik di Bumi juga menyebar keluar magma, yang menghalang gunung-gunung daripada terus membesar secara berterusan. Manakala Marikh pula, adalah terlalu ‘kecil’ untuk plak tektonik.

Saintis juga berpendapat bahawa usia Olympus Mons adalah sekitar 3.5 bilion tahun, iaitu wujud seawal kewujudan Marikh itu sendiri.

Selain itu, saintis juga mengesyaki bahawa gunung berapi ini mampu kekal aktif untuk tempoh beberapa juta tahun, iaitu tempoh yang jauh lebih lama berbanding mana-mana gunung berapi di Bumi.

BACA: Baby Shima Umum Bertanding PRN

Sumber: Forbes, Astronomy.com

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.