Kecur Air Liur, Ini Cara Buat Jeruk Mangga Yang Sedap
Siapa di sini penggemar jeruk? Pastinya ramai di antara kita yang menyukai jajan ini lebih-lebih golongan kanak-kanak dan orang dewasa.
Di Malaysia, kebiasaannya jeruk dihasilkan dengan menggunakan buah-buahan seperti buah salak, kedongdong, kelubi, betik dan banyak lagi.
Namun, jeruk mangga merupakan antara jeruk paling popular dan digemari ramai. Tambahan lagi, pokok-pokok mangga juga banyak ditanam oleh masyarakat di halaman rumah mereka.
Perkara ini menjadikan ia mudah didapati dan dihasilkan sendiri. Apatah lagi, proses pembuatan jeruk mangga juga sangat mudah.
Oleh itu, SK hari ini akan berkongsi tips membuat jeruk mangga yang pasti membuatkan anda kecur air liur. Tanpa membuang masa, mari kita ikuti perkongsian Noor Hafiza Mohamad di bawah.
Tips Buat Jeruk Mangga


Dah 2 kali buat jeruk mangga. Alhamdulillah menjadi.
Dari jeruk, saya buat aiskrim pulak. Aiskrim lah paling popular. Nampaknya kena masuk kampung lah cari buah mangga muda lagi.
Saya belajar buat jeruk guna resepi dari rakan FB je, senang je rupanya. Kalau ada pokok mangga atau orang bagi free boleh lah cuba buat jeruk macam ni.
Tips Pembuatan Jeruk Mangga



Pertama, pilih mangga muda.
Kedua, cuci bersih dengan air paip.
Ketiga, potong mangga ikut saiz kegemaran. Saya buat ada yang kupas kulit dan ada tak kupas kulit. Hiris halus supaya senang nak makan dan senang nak masukkan dalam plastik aiskrim.
Keempat, sambil hiris masukkan terus dalam air bercampur kapur makan (tips supaya rangup).
Kelima, bilas mangga yang dah hiris dan rendam dalam air garam selama 2 hari. Sukatan air garam boleh rasa dengan lidah masinnya.
BACA JUGA: Elak Cepat Basi, Ini Cara Betul Cuci Periuk Nasi
Keenam, selepas 2 hari, masak air gula. Saya lebihkan air gula sebab nakkan kuah jeruk untuk buat aiskrim. Sejukkan air gula.
Ketujuh, buang air rendaman garam (jangan bilas mangga).
Kelapan, masukkan hirisan mangga dalam botol @ bekas tupperware dan tuang air gula.
Sembilan, biarkan jeruk di luar peti sejuk 1 hari.
Terakhir, esoknya baru masukkan botol jeruk dalam peti sejuk chiller. Hari ke-2-3 jeruk boleh lah rasa jeruknya.


Nota Ringkas:
10 minit rendam air kapur
2 hari rendam air garam
1 hari jeruk air gula luar peti
1-2 hari jeruk air gula masuk dalam peti
Hari ke 4 @ ke 5 dah boleh makan jeruk
Tips:


Nak buat jeruk mangga ni berbaloi kalau ada pokok sendiri atau dapat percuma. Sebab mangga muda dekat pasar pun boleh tahan harganya sekarang ni dalam RM4-6/kg.
Jeruk ni sedap sangat masukkan asam boi putih dan hirisan cili padi. Biarkan 1 jam dalam peti baru dimakan. Syok oooo.
Saya buat untuk makan sendiri. Ada lebih, kita jadikan buah tangan bila bertamu ke rumah orang atau orang yang bertamu ke rumah kita.
Macam tu lah mak dan nenek saya dulu. Ada je stok makanan yang boleh di agih-agihkan kepada jiran, keluarga dan kawan. Diorang pa dai guna sumber makanan sekitar dan sangat rajin proses jadikan makanan kudapan yang boleh disimpan lama, walaupun zaman itu belum mampu beli peti sejuk.
Sumber: Facebook Noor Hafiza Mohamad