PRN: PAS Menentang Kuat Hasrat Gerakan Pulau Pinang Bertanding Di Bayan Lepas
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PRN) menentang sekeras-kerasnya hasrat Presiden Parti Gerakan Malaysia (Gerakan), Dominic Lau Hoe Chai untuk bertanding di kerusi DUN Bayan Lepas, lapor Awani.
Dalam satu kenyataan, ketua-ketua cawangan PAS Bayan Lepas mengatakan kawasan tersebut merupakan kerusi tradisi milik parti berkenaan, oleh itu mereka membantah hasrat Dominic sekuat-kuatnya.
Menurut PAS, cubaan yang dilakukan oleh presiden Gerakan itu secara tidak langsung telah melanggar persetujuan yang ditetapkan dalam mesyuarat peringkat negeri.
“Kerusi DUN N38 Bayan Lepas merupakan kerusi tradisi PAS sejak PRU12 lagi yang mana di sini mempunyai majoriti 64 peratus pengundi Melayu dan sudah semestinya pengundi-pengundi di sini mahukan calon Melayu dari PN.
“Ketua-ketua Cawangan PAS dan seluruh jentera PAS di DUN Bayan Lepas hari ini dengan sekerasnya membantah hasrat Dominic untuk bertanding di DUN Bayan Lepas pada PRN ini yang tidak menghormati keputusan Mesyuarat PN peringkat Negeri,” kata kenyataan itu.
Boikot penamaan calon jika berkeras
Jelasnya, sekiranya Dominic masih berkeras untuk bertanding di kerusi berkenaan, PAS tidak akan berkira-kira untuk memboikot proses penamaan calon.
“Kami akan memastikan kekalahan kepada calon Parti Gerakan jika tuntutan ini tidak dipenuhi.
“Jangan sesekali bermain dengan api nanti api itu sendiri akan memakan diri.
“Jangan cabar kesabaran kami dari seluruh ahli dan Jentera PAS DUN Bayan Lepas,” tambahnya.
Difahamkan juga, satu demonstrasi bantahan akan diadakan oleh PAS Pulau Pinang pada jam 5.30 petang ini.
BACA: PKR Umum Altimet Sebagai Calon Lembah Jaya Untuk PRN DUN Selangor
BN, PH Kedah lancar manifesto, perkenal calon pada Khamis
Sebelum ini, media melaporkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kedah akan melancarkan manifesto dan memperkenalkan calon PRN pada 9 malam, Khamis di Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani.
Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata manifesto itu menyantuni semua golongan termasuk nelayan, pesawah, penoreh getah, perindustrian, pelancongan, belia serta wanita bagi membawa kestabilan dan kesejahteraan kepada rakyat Kedah.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan serta Pilihan Raya Kecil bagi Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak dengan hari penamaan calon pada Sabtu ini.
Sumber: Awani