KETENGAH Keluar Minyak Masak K-Desa
DUNGUN, 27 Julai (Bernama) — Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menerusi anak syarikat KETENGAH Holding Sdn Bhd (KHSB) memperluas aktiviti perniagaan dengan pengeluaran minyak masak jenama K-Desa, dijangka berada di pasaran September ini.
Pengurus Besar KETENGAH Datuk Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata kualiti minyak masak K-Desa adalah setanding jenama terkenal namun dijual pada harga yang lebih rendah.
“Ia adalah antara usaha syarikat membantu masyarakat mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin meningkat akibat kenaikan harga barangan dan makanan.
“Sebagai contoh harga minyak masak bagi saiz lima kg di pasaran adalah sekitar RM32, tetapi harga produk K-Desa hanya RM28,” katanya ketika ditemui pada program Sentuhan Kasih Desa Terengganu, di Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) di sini hari ini.
Beliau berkata produk itu telah mendapat kelulusan daripada semua agensi berkaitan dan pihaknya sedang mencari pembekal yang berminat untuk mengedar di seluruh Semenanjung dengan keutamaan kepada agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), sebelum ditawarkan untuk pengedar luar.
“Selain memajukan lagi ekonomi agensi di bawah KKDW, ia juga selaras dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan pembangunan sektor hiliran dan meningkatkan tahap kemampanan dalam industri minyak sawit,” katanya.
BACA: Pakai Satu Bahan Je, Ini Tips Mudah Bersih Minyak Masak Tumpah Atas Lantai
Tengku Ahmad Nadzri berkata pihaknya melabur sebanyak RM3 juta bagi pembinaan kilang pembungkusan minyak masak di Bandar AMBS.
Katanya kilang berkapasiti 92,000 tan metrik itu mampu mengeluarkan sebanyak 156,000 botol minyak masak sebulan meliputi pelbagai saiz termasuk 17 kilogram (kg); lima kg; tiga kg; satu kg dan 500 mililiter.
“Seperti semua sedia maklum, kira-kira 120,000 hektar keluasan tanah di KETENGAH adalah kawasan pertanian dan sebahagian besarnya melibatkan tanaman komoditi kelapa sawit.
“KETENGAH sendiri ada empat syarikat yang mengusahakan tanaman kelapa sawit dengan keluasan 10,000 hektar dengan dua kilang memproses minyak. Jadi kita fikir perlu ada satu lagi rantaian, kilang yang boleh proses terus minyak untuk kegunaan masyarakat,” katanya
Selain penglibatan dalam sektor perladangan dan pengilangan kelapa sawit, pengeluaran minyak masak juga dijangka mampu menjana keuntungan besar kepada syarikat susulan permintaan tinggi daripada pengguna, katanya.
Sumber: BERNAMA