PRN: Perletakan Dominic Di Bayan Lepas Beri Keuntungan Pihak Lawan, Tak Direstui Pas
Keputusan meletakkan Presiden Gerakan, Dominic Lau Hoe Chai di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas dikatakan hanya akan menguntungkan parti lain bahkan perkara itu juga tidak direstui oleh Parti Islam Se-Malaysia (Pas) Pulau Pinang.
Lapor Awani, hal ini kerana kawasan itu kebanyakannya ialah pengundi Melayu, dan pengundi Cina pula lebih memilih kepada parti lain, kata Setiausaha Badan Perhubungan Pas Negeri, Iszuree Ibrahim.
“Kita boleh menang kalau letak calon yang betul kerana sentimen ketika ini adalah gelombang anak muda Melayu yang berikan dukungan kuat kepada Perikatan Nasional (PN).
“Gelombang PN menampakkan kesepaduan orang Melayu jika calonnya dalam kalangan orang Melayu tetapi jika sebaliknya memang agak sukar kerana pengundi Cina dalam 35 peratus akan pergi ke PH.
“Pengundi Melayu tidak akan berikan undi kepada beliau (Dominic) dan ini hanya mendatangkan keuntungan kepada calon lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Awani.
Tambahnya, keputusan PN Pusat yang menetapkan perkara itu tidak mendapat restu dari parti tersebut dan membuatkan calon asal Pas yang sebelum ini memegang kerusi tersebut kecewa.
BACA: PRN: PAS Menentang Kuat Hasrat Gerakan Pulau Pinang Bertanding Di Bayan Lepas
Pas jadi minoriti
Menurutnya, Pas Pulau Pinang dibiarkan menjadi minoriti dengan agihan kerusi yang tidak banyak sekiranya dibandingkan dengan Kedah.
Beliau turut mengatakan bahawa insiden seperti ini bukanlah pertama kali berlaku terhadap Pas.
Dalam pada itu, beliau juga menyifatkan Dominic memilih jalan mudah untuk bertanding di kawasan berkenaan dengan menggunakan jawatannya sebagai Presiden Gerakan.
“Mungkin dia (Dominic) berhasrat nak jadi Ketua Menterilah kalau PN Pulau Pinang menang dan kita bukan nak menentang.
“Persoalannya kenapa daripada 15 kerusi Pas ini (di Pulau Pinang) satu perlu diserahkan kepada Gerakan. Kalau di Kedah, serah tiga kerusi pada Gerakan mereka masih berbaki banyak kerusi.
“Di Pulau Pinang ada 40 kerusi DUN dan Pas cuma diberikan 15 kerusi… dan sekarang serah satu kerusi kepada Gerakan. Jadi ini yang saya ingin PN Pusat sedar… tapi mereka tak ambil iktibar apa yang berlaku di Sungai Petani sebelum ini.
“Pas dan Bersatu negeri telah setuju tidak berikan mana-mana kerusi kerana kita sudah ada MoU (perjanjian persefahaman) yang telah dibahagi sama rata (kerusi),” tegasnya lagi.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainduddin mengatakan keputusan meletakkan Dominic di DUN Bayan Lepas sudah dipersetujui Majlis Presiden PN.
Sumber: Awani