Aktor muda Hariz Hamdan berkesempatan bertemu dengan pelakon terkenal dari Thailand, Pon Nawasch, dalam majlis pelancaran koleksi terbaru jenama kasut popular, ASICS Autumn Winter 2023 di Bangkok, Thailand baru-baru ini.
Selain Hariz dan Pon Nawasch, turut hadir duta lain pada acara tersebut, seperti barisan pelakon terkenal dari Thailand, Toey Pongsakorn, Neng Sarun, Tay Tawan, dan Ratu Universe Filipina 2019, Gazini Ganados.
“Sejujurnya, saya berasa cukup terharu dengan peluang dan kepercayaan yang diberikan kepada saya. Berada dalam sebuah majlis yang dihadiri ramai pelakon terkenal Asia Tenggara membuatkan diri saya terasa kerdil.
“Tetapi mereka semua amat merendah diri meskipun terkenal bukan sahaja di negara masing-masing tetapi juga seluruh Asia Tenggara,” kat Hariz yang juga merupakan duta ASICS Malaysia.
Terdahulu, turut diadakan acara Klinik Larian GEL – KAYANO 30 untuk menguji ketahanan dan kestabilan koleksi kasut baru yang dikeluarkan pada 1 Julai lalu.
Menurut Eksekutif Pemasaran Sukan dan Perdagangan ASICS Malaysia, Azlani Adani, edisi terbaharu siri GEL – KAYANO 30 dikeluarkan sempena ulang tahun ke-30 jenama tersebut yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 1993.
“Rekaan terbaharu kasut ini menggunakan teknologi 4D sistem yang sangat sesuai buat orang yang memiliki tapak kaki rata kerana memberi kestabilan untuk berlari dan bersenam di gim,” katanya.