“Berehatlah Mak…,” Ibu Ubai Meninggal Dunia
Ibu kepada pempengaruh dan penerbit kandungan, Ubai meninggal dunia pada jam 6.45 petang tadi.
Pemergian ibunya, Rohani Jamal itu disampaikan sendiri oleh Ubai atau nama sebenarnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, 25, dalam satu hantaran di Instagram miliknya.
Dalam hantaran tersebut, dia berkata sudah reda dengan pemergian bonda tercinta dan menganggap ia adalah satu ujian buat dirinya.
“Salam semua, mak saya baru sahaja menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.45 petang tadi.
“Hilangnya doa seorang ibu. Berat dugaan ni untuk Ubai, tapi Ubai redha. Berehatlah mak. Mak seorang ibu yang baik, semua orang senang dengan mak. Ubai ingat semua pesan mak, Ubai tak pernah lupa,” luahnya di platform berkenaan.
Dalam masa yang sama, Ubai memaklumkan akan menjaga adik-beradiknya yang lain.
“Terima kasih mak, sebab jadi tempat untuk Ubai mengadu, untuk Ubai minta nasihat. Ubai janji akan jaga adik beradik semua.
“Terima Kasih Emak , Ubai sayang Mak sangat-sangat.
Sementara itu, tunangnya, Shila Amzah yang juga penyanyi tanah air turut memaklumkan pemergian bakal mentuanya itu di Instagram Story.
“Assalamualaikum, semua, Mak @ubaimz baru sahaja menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 6.45 petang tadi. Mohon sedekahkan Al-Fatihah pada arwah mak ya,” maklum penyanyi tersebut.

Penyanyi itu turut memuat naik dalam satu hantaran di akaun Instagram miliknya.
BACA JUGA: Majlis Kahwin Makin Dekat, Ubai Sebak Ibu Tinggalkan Pesan Sebelum Ditidurkan
Katanya, bakal mentuanya itu pergi seminggu sebelum majlis perkahwinan mereka bakal dilangsungkan .
“Mak, terima kasih atas pinjaman waktu ini mak. Lagi seminggu je mak, selamat majlis Ubai dan Sha.
“Mak adalah mak yang baik dan penyayang, isteri yang sangat baik, anak yang baik, kakak yang baik, sahabat yang baik kepada semua yang sayangkan mak.
“Sha sayang mak lillahitaala. Selamat pergi ke negeri Abadi. Al-Fatihah,” ucapnya dalam satu coretan.
Ibu Ubai Ditidurkan
Sebelum ini, ibu Ubai telah ditidurkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada Isnin lalu, lapor Astro Gempak.
Difahamkan, ibunya menghidap kanser ovari tahap tiga.
Walau bagaimanapun, sebelum ditidurkan, Rohani sempat menitipkan pesan buat anaknya.
Maklum Ubai, ibunya memberitahu perkahwinannya bersama Shila Amzah perlu diteruskan seperti biasa pada bulan depan walau apa pun yang terjadi.
Perkara itu menimbulkan rasa sebak di hati pempengaruh berusia 25 tahun berkenaan.
“Ibu ditidurkan bagi mengurangkan rasa sakit yang ditanggung. Semalam sebelum dia ditidurkan, dia pesan suruh saya menjaga diri dan adik dengan baik.
“Malah ibu pesan lagi apa pun jadi pada dia…dia mahu majlis perkahwinan kami perlu diteruskan seperti dirancang. Saya sedih dan menangis bila dia berkata begitu.
“Saya paling rapat dengan ibu, jadi kami banyak berkongsi cerita bersama. Lagipun, dia orang paling teruja dan gembira bila dapat tahu saya dan Shila hendak berkahwin,” ujarnya kepada Astro Gempak.
Alami Pendarahan
Pada 8 Julai lalu, Rohani Jamal telah dimasukkan ke PPUM selepas mengalami pendarahan pada bahagian rahim.
Untuk makluman, Ubai dan Shila Amzah mengikat tali pertunangan pada 27 Mei lalu dan dijangka akan melangsungkan majlis perkahwinan pada bulan hadapan.
View this post on Instagram
Sumber: Instagram @ubaimz