Pemberian Geran & Inisiatif Kerajaan Tiada Unsur Rasuah, Kata Azam Baki
Pemberian geran dan inisiatif daripada kerajaan bukanlah satu bentuk rasuah, demikian pendapat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Kata Azam, sebaliknya beliau berpendapat tindakan itu adalah salah satu usaha yang difikirkan wajar untuk dimanfaatkan kepada rakyat umumnya.
“Ini adalah sebuah kerajaan pemerintah yang boleh melaksanakan inisiatif yang difikirkan wajar untuk rakyat.
“Pada hemat saya, tiada masalah berhubung isu pemberian geran ini kerana ia merupakan inisiatif kerajaan.
“Jadi kalau inisiatif peruntukan yang telah diluluskan kerajaan, ia tiada unsur rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan kepada pemberita Sinar Harian hari ini.
Difahamkan Azam berkata demikian mengenai geran yang akan diberi oleh kerajaan persekutuan kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) berjumlah RM100,000.
Dalam masa sama, sejumlah peruntukan sebanyak RM250,000 juga dilapor akan turut diberikan kepada Majlis Belia Malaysia Terengganu (MBM Terengganu).
Imbas kembali, pemberian dua inisiatif itu diumumkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat baru-baru ini.
Difahamkan ia diumumkan semasa Himpunan Belia Lestari Generasi Unggul (LesGU) bersempena program Sentuhan Kasih Desa di Bandar Al Muktafi Billah Shah, Terengganu.
Zahid ketika itu mengumumkan kerajaan bersetuju memperuntuk geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Ketengah, selain RM250,000 kepada MBM Terengganu serta RM200,000 bagi sukan permotoran di negeri berkenaan.
Sumber: Sinar Harian