Ustaz Soberi Meninggal Dunia, Dipercayai Rebah Semasa Beri Kuliah Subuh
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia – ISMA (MUIS), Dr Mohd Soberi Awang meninggal dunia selepas dipercayai rebah semasa menyampaikan kuliah Subuh di Surau Al Ittihadiyyah, Seksyen 9, Shah Alam.
Berita duka itu dimaklumkan oleh menantunya, Mus’ab Umairi di Facebook miliknya pada Ahad.
Menurutnya, dia mendapat tahu bapa mentuanya rebah ketika sedang memberi kuliah Subuh kepada para jemaah.
“Hari ini ayah mentua saya, almarhum Ustaz Dr Soberi Awang telah kembali kepada penciptanya. Subuh kami di Cairo dibasahi air mata rindu.
“Mendapat khabar berita Baba rebah semasa kuliah subuh di Surau Ittihadiah, Seksyen 9.
“Alhamdulillah atas nikmat bersama Baba walau cuma sekejap. Banyak Umai blajar daripada Baba.
“Moga Allah tempatkan Baba bersama para syuhada dan solehin,” tulisnya.
https://www.facebook.com/musab.umairi.5/posts/pfbid02ijwhzvZEW3QCDoogu3gdLYT95exokEcoDS2CrSczi11Xf4EijGdrNJXJa7gpJGuEl
Jelasnya, sebelum pulang untuk melihat bapanya, dia perlu menghadiri peperiksaan pada hari ini.
“Perlu hadiri peperiksaan pagi ini sebelum boleh berangkat pulang.
“Mohon doa daripada semua keluarga, guru, sahabat dan kenalan,” tambahnya.
Berita duka itu turut diumumkan di laman Facebook rasmi ISMA dalam satu hantaran pagi tadi.
“Takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian al-Fadhil Ustaz Dr Soberi Awang. Beliau merupakan timbalan pengerusi Majlis Ulama Isma (MUIS).
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman, al-Fatihah,” memetik hantaran itu.
https://www.facebook.com/isma.malaysia/posts/pfbid034iSnE4RaV5yjwiF7r5e7szq3m7Lz5BhfbdXwYjwgWKpDqqrZGzD4EGXefevEyKDTl
Dalam pada itu, pendakwah Ustaz Muhammad Nazmi Abd Karim turut memaklumkan pemergian Ustaz Soberi di Facebook miliknya.
Tambahnya, ketika Ustaz Soberi meninggal dunia, beliau menyampaikan kuliah subuh bertajuk Hari Mahsyar.
“Semoga Ustaz Soberi dikurniakan husnul khatimah.
“Semoga Allah merahmati Allahyarham dan ditempatkan rohnya bersama dengan orang-orang soleh Insya-Allah,” tulisnya.
https://www.facebook.com/Ustaz.Nazmi.Karim.Original/posts/pfbid02jnmu6HDuHT2eoWsCGNdyFyyH2khw1u5M9pytVz77UNQgqZRZSmqGLSvjs7ny7CK3l
BACA: Pelakon Era 90-an, Zack Idris Meninggal Dunia
Kalimah terakhir “Allah subhanahu wa ta’ala…”
Difahamkan, Allahyarham merupakan pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
Menurut catatan Mohamed Hadi AH, ketika kuliah berkenaan, arwah sedang menyampaikan pengisian mengenai hari kiamat dan sempat mengupas berkenaan keadaan dunia kini yang sudah di penghujungnya.
“Almarhum membawa tajuk hari kiamat dan beliau sempat mengupas bahawa Bumi ini sudah terlalu uzur dan perjalanan kita sesudah mati pun masih terlalu jauh untuk menunggu Padang Mahsyar nanti,” tulisnya.
Bagaimanapun detik-detik terakhir arwah adalah apabila dadanya dipercayai berasa sakit, sebelum lidahnya melafazkan kata-kata suci Maha Suci Allah.
“Di penghujung kuliah beliau yang terhenti selepas 20 minit, beliau sempat meminta maaf kerana sakit dada sudah lima hari (sambil menekan dadanya) dan sempat meneguk air.
“Kalimah terakhir beliau ialah “Allah subhanahu wata’ala”, sebelum tidak sedarkan diri dan menghembuskan nafasnya yang terakhir,” tambah Mohamed Hadi lagi.
https://www.facebook.com/hadi.almajwi/posts/pfbid02iqWmxVgqgoVw5VbLt3UPBi5zEpHRgrKwUhkADqGEfGvsoanRiNAfiN5yzvqNYhmkl
Ayat Quran terakhir mengenai ‘menghadap Yang Maha Esa’
Sementara itu mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli al-Bakri turut bersedih atas pemergian arwah yang juga merupakan sahabat lamanya.
Kata Dr Zulkifli, ayat al-Quran terakhir yang dilafaz arwah sebelum menghembuskan nafas terakhir ialah mengenai fasa umat manusia menghadap Penciptanya.
“Ayat al-Qur’an terakhir yang dilafazkannya sebelum meninggal dunia semasa menyampaikan Kuliah Subuh pagi tadi adalah: وَبَرَزُوا لِلَّهِ الْوَاحِدِ الْقَهَّارِ
“Maksudnya: “…dan mereka semuanya (di padang Mahsyar) berkumpul menghadap ke hadrat Allah yang Maha Esa lagi Maha Perkasa”,” katanya yang merujuk kepada terjemahan Surah Ibrahim, ayat ke-48.
Dalam masa sama, Dr Zulkifli turut tidak dapat menyimpan rasa terkejutnya atas berita duka pemergian sosok itu.
“Saya amat terkejut dengan pemergian sahabat lama saya, Ustaz Dr. Soberi Awang pada Subuh hari ini.
“Dengan bentuk kematian yang berlaku, saya dengan sangkaan baik yang tinggi menganggap ia adalah petanda almarhum meninggal dunia dalam husnul khatimah,” katanya.
https://www.facebook.com/drzulkiflialbakri/posts/pfbid02T4sehH2XJiWZivrQfdi8HPV37GTzxezywUb9TMQw2rNeG8eEFpeUoFihWvPDdDgl
Allahyarham seorang yang tidak lokek berkongsi ilmu

Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan juga menzahirkan rasa sedih dan terkejut dengan pemergian Ustaz Soberi.
Jelasnya, beliau dan Ustaz Soberi baru sahaja bertukar komunikasi berbincang mengenai isu-isu semasa.
“Mendapat perkhabaran berita pagi ini, amat mengejutkan dan mendukacitakan.
“Baru beberapa hari bermesej dengan beliau tentang isu- isu semasa,” katanya.
Mohd Azizee juga mengatakan beliau kerap pergi ke rumah Ustaz Soberi untuk menuntut ilmu dan fiqah memandangkan Allaharyam pakar dalam bidang tersebut.
Beliau turut menyifatkan Ustaz Soberi merupakan seorang yang sangat tekun dalam mendalami ilmu-ilmu Islam.
“Kerap berulang alik ke rumah beliau untuk mendapatkan mutiara ilmu dan fiqah harakah dan dakwah sejak di Jordan dan juga di Malaysia,” ujarnya.
https://www.facebook.com/mohdazizee.hasan/posts/pfbid0CRZ4NE7E6aEVM78PfHa3jmjnaGZ1fX7B23ytwaNSHAKvNjjBc3HNdDmpv4oRm5HSl
Untuk info seperti yang dikongsikan Mohamed Hadi, arwah merupakan lulusan pendidikan Sarjana Muda Syariah dari Universiti al-Azhar, Mesir dan sarjana (dalam bidang sama) di Universiti Yarmouk, Jordan.
Difahamkan arwah menyiapkan tesis PhD kajiannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2016 di bawah seliaan Dato’ Dr Mohamad Sabri Haron (kini Mufti Terengganu) dengan tajuk “Pengislahan dan Pengembangan Asnaf Zakat Masa Kini – Kajian Kes di Negeri Terengganu”.
Sumber: FB Mus’ab Umairi, Sinar Harian, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), FB Ustaz Nazmi Karim (Original), FB Mohd Azizee Hasan, Mohamed Hadi AH, FB Dr Zulkifli al-Bakri