Kalau Tak Bayar PTPTN, Ini Yang Akan Berlaku & Kaitan Dengan “Loan” Kereta
Buat mereka yang merupakan peminjam dana pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan ingin membeli kereta, perkongsian ini mungkin sesuai untuk anda.
Tahukah bahawa peminjam PTPTN yang memiliki tunggakan mungkin akan berdepan dengan masalah untuk membuat pinjaman bagi membeli kereta.
Ini kerana, maklumat berkenaan pinjaman PTPTN telag direkodkan dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).
CCRIS digunakan untuk menyenaraikan sejarah pembiayaan dan pembayaran balik peminjam, seperti yang dilaporkan oleh institusi kewangan peserta.
Sistem ini dimiliki dan dikendalikan oleh BNM bagi memudahkan pengurusan risiko kredit di antara bank. CCRIS akan memproses data yang diterima daripada institusi kewangan peserta dan menggabungkannya menjadi laporan kredit.

Laporan ini akan disediakan kepada institusi kewangan, peminjam (atas permintaan) dan agensi pelaporan kredit yang diluluskan (dengan persetujuan peminjam).
Jadi, apa kaitan laporan CCRIS sampaikan peminjam PTPTN yang memiliki tunggakan tidak dapat membuat pinjaman bank bagi membeli kereta?
Seorang pengguna Twitter, Azeri Azaman (@azreys) mengulas mengenai hubungan pinjaman kereta dan PTPTN, serta cara menyelesaikannya.
Berikut merupakan perkongsiannya:
Jika tidak membayar PTPTN, jom tengok apa yang bakal berlaku:
1) Pinjaman PTPTN sudah masuk dalam laporan CCRIS selepas 12 bulan habis bergraduasi.
2) Jika bayaran tidak diterima atau tidak konsisten, “payment attitude” ini dapat dilihat dalam laporan CCRIS.
3) Bank akan melihat laporan CCRIS dan menganggap anda bukan seorang pembayar pinjaman yang baik. Secara automatik, sistem Scoring Bank akan memberikan markah rendah terhadap anda.
4) Maka, pinjaman anda tidak dapat diluluskan kerana skor anda terlalu rendah.
Jika “payment attitude” dalam mana-mana pinjaman menunjukkan sifat peminjam yang culas dan tidak konsisten untuk membuat pembayaran, bank tidak akan memberi apa-apa jua pinjaman.
Walaupun peminjam membayar semua tunggakan bulanan, dia masih perlu menunggu untuk rekod “payment attitude” untuk menjadi cantik semula.
Kadang-kadang, pemohon peminjam terpaksa menunggu sampai setahun untuk mencantikkan rekod pinjamannya. Jadi, perkara ini tidak boleh dibuat main-main.
Akan tetapi, pinjaman PTPTN merupakan satu pinjaman yang sifatnya sedikit istimewa.

Walaupun “payment attitude” anda tidak baik pada awalnya, tetapi setelah melunaskan tunggakan yang ada, anda boleh terus memohon pinjaman baru.
Cuma jika anda kembali tidak membayar setelah selesai bayaran tunggakan bulanan PTPTN, pihak bank tidak akan menerima sebarang permohonan pinjaman baru.
Ada sesetengah pelanggan yang apabila pinjaman kereta mereka tidak lulus, mereka mula untuk tidak membayar balik PTPTN.
Dan apabila mereka ingin memohon pinjaman bank sekali lagi, pihak bank sudah tidak memberikan peluang untuk meluluskannya sekali lagi. Tiada peluang kedua ya. Sekali sahaja dan gunakanlah sebaiknya.
Bagaimana bayaran balik pinjaman PTPTN ditetapkan?
1) Bayaran balik berkuatkuasa selepas 12 bulan telah habis pengajian. Walaupun anda tidak terima sebarang surat dari PTPTN, perkara ini termaktub secara automatik.
2) Laporan CCRIS telah mula direkodkan apabila sampai tempoh 12 bulan habis pengajian.
3) Kos upah dimasukkan pada bulan ke-13.
4) Peminjam perlu membayar secara konsisten pinjaman PTPTN. Bagaimana hendak lakukan bayaran balik pinjaman PTPTN? Bayarannya boleh dilakukan secara bayaran penuh, setengah bayaran ataupun secara bayaran bulanan.
Bagaimana hendak mengetahui sama ada kita mempunyai tunggakkan ataupun tidak?
Anda melakukan semakan pada laporan CCRIS ataupun menerusi pihak PTPTN itu sendiri.
Apakah proses yang terlibat untuk menyelesaikan masalah tunggakan pinjaman PTPTN?
Pertama sekali, semak nama anda. Anda boleh merujuk pautan ini bagi mengetahui cara untuk membuat semakan nama anda.
Kedua, anda perlu berurusan dengan pihak PTPTN. Terdapat dua cara untuk berurusan dengan PTPTN. Anda boleh terus ke cawangan yang berdekatan ataupun berurusan secara atas talian melalui WhatsApp.
Anda boleh membuat semakan di cawangan PTPTN yang terdekat dan dapatkan nombor telefon pegawai PTPTN di laman web PTPTN. Bukan itu sahaja, anda juga boleh terus bertanya di laman sosial Facebook PTPTN.
Azeri mencadangkan agar para pemohon pinjaman menghubungi PTPTN secara atas talian terlebih dahulu bagi membuat semakan tunggakan dan dapatkan nasihat mengenai kemampuan pemohon untuk membayar pinjaman serta mengenai reschedule payment .
Ketiga, anda perlu membuat bayaran balik pinjaman PTPTN. Kini, anda sudah mengetahui jumlah bayaran tunggakan pinjaman PTPTN.
Terdapat tiga pilihan untuk membuat bayaran semula iaitu, membuat bayaran semula secara penuh, separa ataupun membayar tunggakan terlebih dahulu.
Jika anda memilih untuk membuat bayaran penuh, selalunya ada diskaun. Selalunya peminjam memilih untuk menyelesaikan tunggakan dan membuat reschedule payment untuk mengurangkan bulanan pinjaman mengikut kemampuan.
Keempat, anda perlu menyelesaikan tunggakkan PTPTN. Anda boleh memilih untuk menyelesaikan bayaran tunggakan secara tunai atau menggunakan akaun 2 KWSP melalui e-Pengeluaran.
Kelima, anda pelu menstrukturkan semula pembayaran PTPTN selepas urusan di KWSP selesai. Hubungi pegawai PTPTN yang anda berurusan pada mulanya dan beritahu mengenai pengesahan pengeluaran akaun 2 KWSP.
Pegawai tersebut akan memberikan borang untuk dicetak. Cetak semua borang tersebut dan lengkapkan. Kemudian, baru pergi ke cawangan PTPTN yang berdekatan ddan elesaikan semua urusan di sana.
Akhir sekali, PTPTN akan bagi surat pengesahan pembayaran tunggakan pinjaman melalui emel. Jika anda tidak mendapat sebarang maklum balas, hubungi pihak berkenaan untuk meminta surat tersebut.
Surat tersebut merupakan surat yang paling-paling tertunggu pemohon yang ingin membuat pinjaman bank.

Sekarang saya ceritakan mengenai cara menggunakan akaun 2 KWSP untuk membayar tunggakkan PTPTN.
1.Daftar i-Akaun KWSP
Pergi cawangan KWSP yang berdekatan. Daftar i-Akaun menggunakan kad pengenalan. Kod pengaktifan akan diberi. Tempoh kod boleh pakai 30 hari je. Buka laman web KWSP dan klik pada Pengaktifan i-Akaun (jika melog masuk buat kali pertama). Isikan maklumat yang diminta.
2. Melog masuk i-Akaun
Untuk memulakan transaksi klik pada Klik Tab Pengeluaran, e-Pengeluaran dan klik Permohonan Baru.
3. Tunggu mesej di peti masuk atau SMS
Proses cepat. Dalam masa kurang dari satu minggu, anda akan mendapat SMS Pengesahan. Dalam masa 14 hari selepas mendapat SMS, anda perlu pergi ke mana-mana cawangan KWSP terdekat untuk membuat biometrik.
Jika gagal menghadirkan diri bermaksa anda tidak mahu meneruskan permohonan dan automatik permohonan dibatalkan.
4. Dokumen Sokongan
Dokumen yang perlu dibawa ialah kad pengenalan serta salinan, dokumen pengesahan permohonan pengeluaran, sijil akademik serta salinan, dan surat tunggakan PTPTN jika ada.
5. Hadir di Pejabat KWSP
Kehadiran anda bertujuan untuk melakukan pengesahan identiti melalui biometrik, mengemukan dokumen yang diperlukan dan mengesahkan bahawa anda mahu melakukan pengeluaran bagi tujuan untuk menyelesaikan tunggakan PTPTN.
6. e-Pengeluaran selesai
Permohonan e-Pengeluaran akan dihantar pada PTPTN dan bayaran balik akan diproses dalam masa dua minggu. Setelah selesai, pihak terbabit akan mengeluarkan dokumen rasmi pengesahan bayaran pada PTPTN. Anda sudah boleh memeriksa pernyataan PTPTN milik anda.
Terdapat beberapa kelebihan menggunakan akaun KWSP 2 untuk menyelesaikan tunggakan seperti tiada had pengeluaran, boleh dikeluarkan lebih dari sekali, tiada caj proses dan jimat dari segi kos upah pentadbiran.
Setelah membayar tunggakan pinjaman PTPTN, adakah pinjaman wang untuk pembelian kereta saya akan diluluskan?
Bagi menjawab persoalan ini, tidak tentu juga kerana terdapat banyak lagi syarat yang pernuh dipenuhi sebelum membeli kereta.
BACA: Rumah 3 Bilik Tidur & 2 Bilik Air, Ada Enam Rekaan Boleh Pilih, Cara Mohon Rumah Mesra Rakyat
Sumber: @azreys via Twitter