Gadis Nekad Ceburi Dunia Perniagaan Demi Kejar Impian Belajar Di Luar Negara
Setiap orang di atas muka bumi ini pasti mempunyai impian dan cita-cita yang mahu dicapai terutamanya berkaitan dengan meningkatkan taraf kehidupan.
Begitulah yang terjadi kepada seorang wanita muda ini yang bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah di luar negara.
Namun, untuk mencapai impian tersebut, pelbagai aspek perlu diambil kira terutamanya dari segi kewangan.
Justeru, demi mencapai impian tersebut, wanita berusia 22 tahun ini tekad menjalankan perniagaan sampingan ‘Almond Cluster’ demi membiayai yuran pengajiannya kelak apabila berpeluang untuk melanjutkan pelajaran.
Nureen Aresya, 22, yang bekerja sebagai juru ukur bahan sepenuh masa di salah sebuah syarikat kejuruteraan di Kuala Lumpur telah menjalankan perniagaan ‘Almond Cluster ‘ ini lebih kurang dua bulan.

Baru-baru ini pihak SK berpeluang untuk menemu bual kisah wanita muda yang bercita-cita tinggi ini demi mencapai impiannya.
Bercita-cita nak melanjutkan pelajaran ke luar negara
Menurut Nureen, perniagaan yang dilakukan ini adalah bertujuan untuk menampung perbelanjaannya apabila berpeluang untuk melanjutkan pelajaran.

“Saya ada cita-cita nak sambung belajar di luar negara. Jadi disebabkan kos yang tinggi, saya rasa untuk berharap kepada satu sumber pendapatan ia mungkin tidak mencukupi.
“Walaupun terdapat badan-badan yang boleh membantu untuk memberi biasiswa atau pinjaman, tapi duit wang saku perlu di ambil kira.
Apabila ditanya berkenaan cabaran beliau dalam mengusahakan perniagaan ini sambil bekerja, Nureen dengan ringkas membalas bahawa kekangan masa adalah cabaran terbesar.
Nureen yang bekerja sepenuh masa sebagai juru ukur bahan tersebut bijak membahagikan masanya di hujung minggu untuk menyiapkan tempahan pelanggan.
“Kekangan masa, dari segi masa untuk menguruskan perniagaan bila nak beli barang. Yang paling penting bila masa untuk market kan atau promosi produk saya,” jawab Nureen.

Idea bagaimana wujudnya Almond Cluster
Dalam menjalankan perniagaan ini, keluarga dan rakan merupakan pendorong terkuat baginya dari segi sokongan moral dan emosi.
Menurut Nureen, kelainan produk jualan yang disajikan kepada pelanggan adalah dari segi perisa yang ditawarkan.
“Saya dah buat survey untuk produk ini. Bagi produk saya kelainan paling ketara ialah perisa yang ditawarkan. Almond Cluster saya ditawarkan dalam perisa Coklat, Matcha dan coklat putih.
“Produk saya lain daripada orang lain. Saya cuba lari dari jualan mainstream produk ini dalam market di Malaysia,” kata Nureen lagi.
Tambahnya, pemilihan produk Almond Cluster sebagai perniagaan adalah disebabkan minatnya dalam makanan.
“Dari awal saya sudah tetapkan mahu menjual makanan. Saya tak ada masa untuk cari supplier barang lain seperti baju.
“Kenapa Almond Cluster? Bagi saya produk ini paling senang. Saya pun masa tak banyak tapi dalam masa yang sama saya juga minat untuk buat benda-benda macam ini,” cerita Nureen lagi.
BACA: Ramai Lega, Masalah Lif PPR Selesai Selepas Tindakan Ini, Siap Nak Bagi Internet Percuma
Disebabkan minat dalam masakan, produk berasaskan masakan seperti Almond Cluster telah dipilih oleh Nureen dalam menjalankan perniagaannya.
Sambutan daripada pelanggan menggalakkan
Meskipun baru sahaja dalam perniagaan tersebut, sambutan daripada pelanggan sangat memuaskan dan menggalakkan. Sambutan pelanggan itu sedikit sebanyak membantunya dalam mencari wang tambahan yang diperlukan.

Nureen turut sempat memberikan beberapa nasihat kepada mereka yang di luar sana untuk mula menceburi dalam bidang perniagaan ini.
Jelas Nureen, setiap apa yang dilakukan perlu jujur kerana ia merupakan sumber rezeki kepada kita nanti.
“Saya pun baru bermula, tapi sepanjang saya buat perniagaan ini perkara yang perlu diambil kira adalah apa yang kita buat itu kena jujur. Seperti kualiti bahan, tak boleh caj orang atas nak untung semata. Jujur, kerana dekat situ akan memberi kesan kepada keberkatan untuk mencari rezeki.
“Dari segi kewangan, anda perlu betul-betul survey dan kaji tentang perniagaan yang nak dijalankan. Boleh untung tak atau hanya pulang modal semata.
“Perancangan paling penting, sebagai contoh cari tempat menjual bahan mentah yang berkualiti dan baik,” nasihat Nureen kepada mereka yang di luar sana.
Untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas berkenaan perniagaan Almond Cluster Nureen, pembaca boleh tonton temu bual penuh SK bersama Nureen di bawah.