Kota Bharu, 8 Ogos 2023 – Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) hari ini telah melaksanakan satu (1) lagi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporatnya melalui Yayasan Amanah dengan mengambil cakna kebajikan pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan di Universiti Malaysia Kelantan. Sumbangan adalah berupa kupon makanan kepada lebih kurang seratus (100) pelajar asnaf yang secara keseluruhannya berjumlah RM64,000.00.
Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Encik Ahmad Feizal Sulaiman Khan dalam ucapannya berkata, inisiatif dan keprihatinan AmanahRaya ini adalah seiring dengan objektif Tanggungjawab Sosial Korporat AmanahRaya yang mengutamakan amalan ‘Give Back to the Community’ selain bertujuan untuk membantu mengurangkan beban ekonomi pelajar yang kurang berkemampuan agar mereka terus komited menumpukan sepenuh perhatian dalam pembelajaran sehingga berjaya mengubah nasib keluarga.
Penyerahan cek sumbangan telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Universiti Malaysia Kelantan, Yang Berbahagia Prof. Dr. Mohammad Ismail.