Siakap Keli
kenaikan subsidi pesawah
Gambar: Bernama

Kenaikan Kadar Skim Subsidi Harga Padi, Pesawah Harap Tiada Pihak Ambil Kesempatan

Kenaikan Kadar Skim Subsidi Harga Padi, Pesawah Harap Tiada Pihak Ambil Kesempatan

SEKINCHAN, 9 Ogos (Bernama) — Kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per tan kepada RM500 per tan mulai hari ini seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dilihat golongan petani sebagai bukti keprihatinan Kerajaan Perpaduan kepada mereka.

Seorang petani di Selangor, Jamaludin Hamsan, 44, berkata beliau bersyukur dengan inisiatif kerajaan itu kerana ia sedikit sebanyak dapat membantunya memandangkan hasil padi yang dikeluarkan tidak menentu.

“Apabila hasilnya tidak menentu, untungnya juga tidak akan besar. Selain itu, semua kos meningkat termasuklah sewa jentera juga semakin tinggi, bukan semua pesawah mampu memiliki jentera sendiri (mesin padi) sebab harganya mahal, sewa adalah jalan yang ada,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau berharap pertambahan kadar subsidi tersebut tidak mendorong pihak tertentu untuk mengambil kesempatan dengan menaikkan harga keperluan petani seperti racun dan baja.

“Saya juga memohon pihak-pihak berwajib sentiasa memantau pasaran supaya tidak ada mereka yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga racun, upah dan sewaan jentera,” katanya.

BACA JUGA: SSHP Dinaikkan Daripada RM360 Kepada RM500 Per Tan Metrik, Tingkat Pendapatan Pesawah – PM

Saipo Bahri Sahlan, 62, berkata pengumuman Perdana Menteri itu sememangnya tepat pada masanya kerana ketika ini para pesawah sedang terkesan dengan kenaikan harga bahan input pertanian seperti baja dan racun.

Katanya dengan pengumuman berkenaan, ia mampu menambah pendapatan pesawah antara 10 hingga 15 peratus.

“Terima kasih Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana prihatin dengan nasib petani di seluruh negara. Ia (subsidi) membantu meringankan perbelanjaan kami, PM mendengar keluhan kami.

“Pendapatan kami ini mengikut musim, sekurang-kurangnya bolehlah beli racun atau perbelanjaan keluarga,” katanya ketika ditemui di Tanjong Karang.

Senada dengan Saipo Bahri,  Tan Hong Nin, 57, yang berkata inisiatif itu sangat diperlukan kerana keuntungan yang diperoleh hasil tanaman padi tidaklah sebanyak mana.

“Bantuan ini memang sangat diperlukan para pesawah kerana kos bagi kami untuk mengerjakan sawah padi itu sendiri sudah tinggi. Ia termasuklah bagi menyewa mesin padi, traktor, bayar upah racun dan kos-kos lain.

“Bukan nak cakap rugi, tapi keuntungan yang diperoleh tidak sebanyak mana. Ia bergantung kepada (penghasilan) padi,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.