Macam Gula-Gula Kapas, Kenali Awan Mammatus & Bagaimana Ia Terbentuk
Tentu ada di antara kita suka melihat ke arah langit yang luasnya bagai tiada penghujung. Keindahan gumpulan awannya sentiasa mempesonakan hati sesiapa sahaja.
Tidak kira dari waktu matahari naik hingga matahari terbenam. Setiap hari, awan-awan sentiasa bergerak dan berubah-ubah bentuk.
Terdapat pelbagai fenomena menakjubkan yang pernah dilihat pada hamparan awan di langit seperti awan lentikular, awan berwarna-warni (Iridescent clouds) dan banyak lagi.
Selain itu, terdapat juga fenomena atau pembentukan awan seperti kantung dan terbonjol keluar. Fenomena ini dipanggil Awan Mammatus atau Mammatus Clouds.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, mari kita ikuti perkongsian di bawah.
Jom Kenali Apa Itu Awan Mammatus?

Awan mammatus atau mammatocumulus merupakan salah satu pembentukan awan yang memukau mata sesiapa sahaja melihatnya. Dari segi luaran, gumpulan awan ini berbentuk seperti bonjol, bengkak, bebola atau mempunyai kantung pada bahagian bawah awan.
Meskipun kadangkala ia muncul berbeza-beza, namun bentuknya yang bonjol tersebut mudah dikenali berbanding bentuk awan lain.
Menurut Earth Sky, ia dapat bertahan pada jangka masa antara 10 hingga 15 minit pada satu-satu masa.
Pembentukan Awan Mammatus

Umumnya, awan ini terbentuk secara bersama dengan awan kumulonimbus yang besar. Ia tercetus apabila berlaku pergolakan dalam awan tersebut hingga membentuk mammatus.
BACA JUGA: Bentuk Unik Seakan UFO, Kenali Awan Lentikular & Bagaimana Ia Terbentuk
Kebiasaannya, proses pembentukan awan adalah secara menaik, namun sebaliknya bagi mammatus yang bergerak ke bahagian bawah ke paras yang lebih rendah. Disebabkan itu, berlaku bonjolan pada bawah awan dan menampakkan bentuk tidak sekata.
Menurut TRVST World, awan ini paling mudah dilihat pada waktu senja atau di kawasan yang kurang cahaya matahari.
Secara dasarnya awan ini merupakan bentuk lanjutan yang terhasil daripada jenis awan lain.
Faktor Cuaca?

Awan mammatus ini terhasil disebabkan pembawaan awan kumulonimbus yang biasanya membawa ribut ekoran jisim udara yang tidak stabil. Lazimnya, awan mammatus terbentuk dalam awan kumulus yang paling tidak stabil.
Fenomena tersebut membawa maksud kemungkinan hujan lebat, hujan batu, ribut petir dan bahkan salji jika udara yang terhasil cukup sejuk.
Meskipun awan ini boleh terbentuk pada awan lain seperti stratocumulus, altostratus dan altocumulus, namun ia sangat jarang dilaporkan berlaku.
Selain itu, awan ini juga boleh terhasil daripada abu gunung berapi.
Sumber: Met Office UK, Earth Sky, TRVST World