Siakap Keli
kdn warta perintah larangan lgbt
Gambar: Bernama

Kerajaan Warta Perintah Larangan Penerbitan Jam Swatch Yang Berkait Dengan LGBTQ+

Kerajaan Warta Perintah Larangan Penerbitan Jam Swatch Yang Berkait Dengan LGBTQ+

PUTRAJAYA  — Kerajaan telah mewartakan Perintah Larangan terhadap penerbitan jam Swatch yang berkaitan dengan Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender, Queer, and + Plus (LGBTQ+) menerusi warta Kerajaan P.U.(A) 236 hari ini (10 Ogos 2023).

Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), sebarang penerbitan yang berkaitan dengan LGBTQ+ dalam apa-apa bentuk yang terdapat pada jam Swatch akan dikenakan di bawah akta berkenaan. Ia termasuk kotak, pembalut, aksesori atau apa-apa benda lain yang berkaitan.

“Pewartaan Perintah Larangan ini adalah selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012 yang menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan tersebut adalah dilarang secara mutlak di Malaysia,” maklum KDN dalam satu kenyataan.

Jelas KDN, hasil penerbitan tersebut dikenakan tindakan Perintah Larangan kerana ia merupakan hasil penerbitan yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan kemoralan, kepentingan awam, dan kepentingan negara dengan mempromosikan, menyokong, dan menormalisasikan gerakan LGBTQ+ yang tidak diterima oleh masyarakat umum di Malaysia.

BACA JUGA: Sarawak Tidak Benarkan Artis Antarabangsa Yang Bertentangan Dengan Pendirian Malaysia Beraksi

“Adalah diingatkan bahawa, berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012, mana-mana individu yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar, atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya,” jelas KDN lagi.

Sehubungan itu, KDN menegaskan komitmen mereka dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

“Ia dilaksana melalui tindakan penyeliaan dan kawalan terhadap penerbitan bagi membanteras penyebaran elemen, fahaman, dan gerakan yang bercanggah dengan sosiobudaya tempatan dari semasa ke semasa secara berterusan,” kata kementerian itu.

Dalam masa yang sama, ia selaras dengan peruntukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012.

Sumber: Kementerian Dalam Negeri (KDN)

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.