“Tiada Menang dan Kalah, Yang Penting Adalah Perkara Yang Disampaikan” – Rafizi
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyifatkan sesi perdebatan bersama Penolong Setiausaha Agung Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Mohd Syahir Sulaiman telah menjadi platform untuk menyampaikan perkara penting berkaitan ekonomi Malaysia kepada rakyat.
Lapor Awani, Rafizi mengatakan tiada siapa yang menjadi juara dalam sesi perdebatan tersebut malah ia diukur dengan kefahaman rakyat berkaitan cabaran ekonomi.
“Debat ini tiada menang dan kalah, yang paling penting adalah perkara yang disampaikan.
“Jadi kualiti ukuran sesuatu debat itu sama ada mesej yang kita nak sampaikan itu betul-betul difahami oleh penonton,” katanya.
Tambahnya segala yang perlu dijelaskan mengenai cabaran ekonomi dan kerangka ekonomi Malaysia Madani dapat disampaikan kepada rakyat.
Rafizi menjelaskan bahawa melalui pendekatan yang dilakukan pada malam ini, beliau berharap ia akan menyakinkan rakyat bahawa sesuatu perkara mengambil masa yang lama untuk difahami.
Tambahnya, beliau juga telah melakukan tugasnya sebagai Menteri Ekonomi untuk terus memberi pencerahan kepada rakyat mengenai cabaran ekonomi supaya apabila dilaksanakan nanti ia akan lebih difahami masyarakat.
“Melalui budaya debat begini, akan lebih menyakinkan lebih ramai rakyat Malaysia bahawa ia mengambil masa untuk memahami sesuatu perkara.
“Yang penting ia adalah sebahagian tugas saya untuk terus memberi pencerahan kepada rakyat,” ujarnya.
Mohd Syahir puas hati dapat sampaikan mesej Dalam Debat
Sementara itu, Mohd Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok menyatakan rasa puas hati apabila dapat menyampaikan isi hati rakyat dalam debat malam ini.
Menerusi temu bual Awani, Mohd Syahir berkata debat tersebut memberikan beliau peluang untuk menyuarakan idea yang dimiliki olehnya berkenaan dengan negara.
“Puas hati. Asalnya tak mahu berdebat. Saya dari sekolah tidak suka berdebat, kalau kawan-kawan berdebat saya lari.
“Tapi kali ini ada peluang untuk saya sampaikan mesej, idea dan isi hati rakyat, jadi saya ambil peluang dan saya sampaikan apa yang saya mahu sampaikan,” katanya.
Apabila ditanya mengenai ketersediaannya mengenai respons yang akan timbul selepas ini, Mohd Syahir berkata dirinya telah bersiap sedia menerima reaksi yang akan diberikan.
Debat tiada menang atau kalah, apa yang penting perkara yang ingin disampaikan – Menteri Ekonomi Rafizi Ramli#AWANInews #6NegeriMemilih #DebatRafiziSyahir pic.twitter.com/VDNCcrM4Bh
— Astro AWANI (@501Awani) August 9, 2023
Sumber: Awani