Negeri Sembilan Putuskan Umum Cuti Peristiwa Selepas Tahu Keputusan PRN
Negeri Sembilan dilaporkan hanya akan mengumumkan cuti peristiwa sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas mengetahui keputusan penuh esok, lapor Astro Awani.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara itu juga masih belum dibincangkan lagi oleh barisan kepimpinan di peringkat negeri.
“Cuti tidak boleh umum sekarang dan saya akan umum esok, insya-Allah, selepas keputusan keluar.
“Negeri lain dah umum tidak mengapa, Negeri Sembilan insya-Allah esok selepas dapat keputusan. Kita akan umum, kalau kata (ada) berita gembira dah jadi macam pengumuman pula,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berharap agar peratusan keluar mengundi di seluruh negeri itu adalah tinggi.
“Saya minta semua keluar mengundi esok seawal pagi dan saya harap pengundi dapat memilih masa yang sesuai untuk mereka keluar mengundi.
“Saya dilaporkan esok cuaca mungkin hujan, cuaca juga tak menentu dan saya harap semua tak melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab,” tambahnya.
Sebelum ini, beberapa negeri yang terlibat dalam PRN telah mengumumkan cuti peristiwa.
Terengganu Umum Ahad Sebagai Cuti Peristiwa
Kerajaan Negeri Terengganu mengumumkan bahawa Ahad ini sebagai cuti peristiwa sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung pada esok hari, lapor Sinar Harian.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata bahawa keputusan itu dibuat bagi memudahkan urusan pengundi luar.
Terutamanya bagi mereka yang bekerja di negeri ini untuk pulang ke tempat mengundi mereka masing-masing.
“Pengumuman ini juga mengambil kira tugasan dan bagi memudahkan kakitangan kerajaan negeri yang bertugas sehingga lewat malam membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari pengundian.
“Kerajaan negeri berharap pengumuman ini akan dapat memberikan kemudahan dan keselesaan kepada semua yang terlibat dalam pesta demokrasi pada 12 Ogos 2023 nanti,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, pada Jumaat.
BACA: Ramai Lega, Masalah Lif PPR Selesai Selepas Tindakan Ini, Siap Nak Bagi Internet Percuma
Cuti Peristiwa Isnin Jika PH-BN Menang Di Selangor
Cuti peristiwa diumumkan untuk seluruh rakyat Selangor pada Isnin ini (14 Ogos) sekiranya gabungan PH dan BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) esok. Seterusnya dapat membentuk Kerajaan Negeri Selangor.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pilihan raya pada 12 Ogos ini adalah tarikh penting dalam sejarah negeri. Ia bakal menentukan masa hadapan Selangor untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Anda mempunyai pilihan antara gabungan yang akan meneruskan kejayaan, kecemerlangan dan kemajuan negeri. Ataupun gabungan yang hanya berminat untuk menggunakan PRN ini untuk mencetuskan ketidakstabilan politik negara. Terbukti tiada idea baharu dan tiada perancangan untuk negeri yang kita cintai ini,” katanya.
Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor berkata demikian semasa menyampaikan Amanat Khas Kepada Rakyat Selangor yang disiarkan melalui Facebook, Amirudin Shari.
Sumber: Astro Awani