Esok Rasmi Cuti Umum Di Selangor
SHAH ALAM, 13 Ogos (Bernama) — Kerajaan Selangor mengisytiharkan esok (14 Ogos) sebagai hari kelepasan am bagi seluruh negeri itu sempena Pilihan Raya Dewan Negeri Selangor ke-15.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Haris Kasim menerusi satu kenyataan hari ini.
“Sukacita dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk mengisytiharkan hari Isnin, 14 Ogos 2023, bersamaan 27 Muharram 1445H, sebagai Cuti Hari Kelepasan Am bagi seluruh negeri Selangor sempena Pilihan Raya Dewan Negeri Selangor Ke-15,” menurut kenyataan itu.
Jumaat lepas, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dalam Amanat Khas yang disiarkan menerusi Facebook beliau mengumumkan cuti peristiwa esok sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
Keputusan PRN Selangor semalam menyaksikan gabungan PH-BN memperoleh 34 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Perikatan Nasional 22 kerusi.
Cuti peristiwa Isnin jika PH-BN menang di Selangor
Terdahulu, cuti peristiwa diumumkan untuk seluruh rakyat Selangor pada Isnin ini (14 Ogos) sekiranya gabungan PH dan BN memenangi PRN, seterusnya dapat membentuk Kerajaan Negeri Selangor.
Amirudin Shari berkata pilihan raya pada 12 Ogos ini adalah tarikh penting dalam sejarah negeri yang bakal menentukan masa hadapan Selangor untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Anda mempunyai pilihan antara gabungan yang akan meneruskan kejayaan, kecemerlangan dan kemajuan negeri ataupun gabungan yang hanya berminat untuk menggunakan PRN ini untuk mencetuskan ketidakstabilan politik negara, terbukti tiada idea baharu dan tiada perancangan untuk negeri yang kita cintai ini,” katanya.
Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor berkata demikian semasa menyampaikan Amanat Khas Kepada Rakyat Selangor yang disiarkan melalui Facebook, Amirudin Shari.
Sumber: BERNAMA