PRN: Isyarat Besar Buat UMNO Jika Tak Mahu Dilupakan – Ketua Pemuda
KUALA LUMPUR — Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa parti itu untuk berubah sekiranya tidak mahu disisihkan terus oleh rakyat pada masa akan datang, lapor Astro Awani.
Jelasnya, kepimpinan parti politik Melayu terbesar itu perlu menambat semula kepercayaan rakyat terhadap UMNO.
Tegas Muhamad Akmal, suara rakyat perlu diutamakan oleh UMNO dan bukannya suara pemimpin.
“Ramai yang bercakap mengenai kekalahan UMNO yang besar berbanding dengan kemenangan besar parti lain.
“Maksud di sini ramai yang masih sayangkan UMNO tetapi tidak percaya pada UMNO. Berani untuk berubah, jika kita tidak mahu UMNO terus dilupakan,” jelasnya dalam satu hantaran di akaun rasmi beliau pada Ahad.
Hasil keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam memaparkan UMNO hanya menang 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
BACA JUGA: Altimet Menang Di Lembah Jaya
Dalam PRN tersebut, UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) bertanding di 108 kerusi DUN di enam. Ia melibatkan Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Di Negeri Sembilan, UMNO berjaya memenangi 14 daripada 17 kerusi DUN. Ia merupakan pencapaian terbaik parti itu dalam PRN.
Manakala di Pulau Pinang dan Selangor pula, parti itu masing-masing memperolehi dua kerusi DUN dan 1 kerusi DUN Galas di Kelantan masih kekal dipertahankan.
Walau bagaimanapun, di negeri Kedah dan Terengganu, UMNO gagal merebut sebarang kerusi yang dipertandingkan.
Pilihan Raya Negeri (PRN)
Pada 12 Ogos (semalam), negeri Selangor, Terengganu, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan telah berlangsung Pilihan Raya Negeri (PRN).
Hasil keputusan undian yang diperolehi adalah seimbang (3-3) selepas parti Perikatan Nasional (PN) dan parti gabungan PH-BN masing-masing mendominasi tiga negeri.
Kedah, Terengganu dan Kelantan muncul sebagai negeri paling banyak dimenangi oleh PN, manakala keputusan di tiga negeri lain memihak kepada parti gabungan PH-BN.
Secara keseluruhan, PN berjaya mendominasi 146 kerusi sementara PH-BN memperolehi 99 kerusi daripada 245 kerusi DUN yang dipertandingkan dalam PRN kali ini.
Sumber: Astro Awani