Maxis Setuju Meterai Perjanjian Akses 5G DNB – Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR, (Bernama) — Maxis bersetuju memeterai Perjanjian Akses 5G dengan Digital Nasional Berhad (DNB) hari ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata persetujuan itu berikutan beberapa siri perbincangan sejak keputusan jemaah Menteri pada 3 Mei lepas untuk menukar model pelaksanaan 5G ketika ini kepada dwirangkaian sebaik sahaja pelaksanaan semasa di bawah DNB mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk.
“Ini bermakna semua telco utama di Malaysia akan sediakan 5G,” katanya menerusi hantaran di laman rasmi Facebook malam ini.
BACA JUGA: Tidak Boleh Hantar SMS Bersama URL Selepas 2 Mei – Maxis
Fahmi sebelum ini berkata selain Maxis, CelcomDigi, Telekom Malaysia, U-Mobile dan YTL Communications akan memuktamadkan proses pemegangan saham dalam DNB, seterusnya menyokong pembangunan rangkaian 5G oleh DNB sehingga mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung tahun ini.
Ia susulan kejayaan Pasukan Petugas Pelaksanaan Dwirangkaian 5G Malaysia mencapai persetujuan, berkaitan penyertaan ekuiti dalam DNB dan Perjanjian Akses 5G bersama DNB.
Sumber: BERNAMA