Pelajar Kolej MARA Seremban Raih Mata Penuh Dalam Peperiksaan International A Levels
Seorang pelajar dari Kolej MARA Seremban (KMS), Ibrahim Fikri Arif Ghazali bakal melanjutkan pengajian ke London School Of Economics and Political Science (LSE) dalam bidang Bsc. Economics.
Difahamkan, Ibrahim berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan International A Levels Mei-Jun 2023 dengan skor 4A* (mata penuh).
Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam satu hantaran di laman Facebook sebentar tadi turut mengucapkan tahniah di atas kejayaan pelajar terbabit.
“Syabas dan tahniah buat saudara Ibrahim Fikri Arif bin Ghazali dari Kolej MARA Seremban (KMS) atas pencapaian cemerlang mendapat 4A* (mata penuh) dalam peperiksaan International A Levels Mei-Jun 2023,” maklumnya dalam hantaran tersebut.

Pelajar Cemerlang KMS skor 4A
Tambah agensi itu, Ibrahim merupakan satu-satunya pelajar KMS yang mendapat 4A* dalam peperiksaan itu.
Sehubungan itu, pihaknya juga mengucapkan selamat maju jaya dan semoga kejayaan ini menjadi inspirasi buat pelajar tajaan MARA.
BACA JUGA: Berbakti Hingga Akhir Hayat, Pelajar Cemerlang Imamkan Solat Jenazah Ibu
Capai “Perfect Score” Dalam Peperiksaan IB
Terdahulu, seorang pelajar dari Kolej Tunku Kurshiah, Raz Irina Mohd berjaya mencapai skor sempurna 45/45 poin dalam peperiksaan IB May 2023 pada bulan lalu.
Kejayaan tersebut nyata mengejutkan banyak pihak termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang memaklumkan berita gembira itu di laman Facebook.
Difahamkan pelajar Kohort 6 program Diploma International Baccalaureate kolej itu telah mencapai gred tertinggi (Gred 7) bagi 6 kumpulan subjek. Ia termasuk 3 mata penuh untuk subjek CORE (Extended Essay dan TOK).
Untuk makluman, Raz Irina tergolong antara kurang 1 peratus calon dari seluruh dunia yang berjaya mencatat skor sempurna.
Jelas KPM, kejayaaannya terserlah menerusi keterampilan diri yang terdapat pada Raz Irina.
“Seorang pelajar yang sentiasa komited, positif, mempamerkan kematangan diri dalam berfikir dan ampuh berdikari, Raz Irina menunjukkan konsistensi dan kecemerlangan dalam pembelajarannya,” maklum KPM lagi.
Difahamkan, dia telah menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian di Imperial College London. Institusi pengajian berkenaan menawarkannya jurusan MEng Chemical Engineering.
Sumber: Majlis Amanah Rakyat