Siakap Keli
Zahid letak jawatan
Kredit Astro Awani

Wujud Gesaan Letak Jawatan Dari Dalam, Zahid Hamidi Bertegas Akan Perbaiki Kelemahan

Wujud Gesaan Letak Jawatan Dari Dalam, Zahid Hamidi Bertegas Akan Perbaiki Kelemahan

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui bahawa wujud gesaan terhadapnya untuk meletak jawatan dari dalam parti susulan prestasi UMNO yang tidak memberangsangkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Memetik Astro Awani, beliau mengakui akan “bertanggungjawab sepenuhnya” atas apa yang terjadi sewaktu PRN di enam negeri tersebut.

Bagaimanapun, dalam kenyataannya hari ini, beliau tidak memberi sebarang kenyataan sama ada mahu mengundurkan diri dari parti tersebut.

Sebaliknya, Zahid berikrar bahawa akan memperbaiki nasib UMNO pada masa akan datang sambil dibantu oleh kepimpinan parti yang lain.

“Saya sedar desakan itu (supaya berundur) wujud. Apa yang saya boleh janjikan ialah, saya dengan bantuan kepimpinan parti akan melakukan lebih banyak lagi untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat.

“Kami akan meneliti pendekatan dan strategi kami. Kami akan guna pakai yang baharu, supaya kami boleh kembali memenangi hati dan minda pengundi,” kata Ahmad Zahid kepada pemberita.

Tambahnya, desakan ini bukan kali pertama yang diterima oleh seorang Presiden UMNO.

“Ia pernah berlaku sebelum ini, termasuk kepada Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan juga kepada Datuk Seri Najib. Apabila keputusan pilihan raya tidak memihak kepada kami,” katanya lagi.

Sementara itu, menurut Zahid, tanggungjawab terhadap prestasi parti yang lemah bukan sahaja terletak di bahu beliau tetapi ia juga tanggungjawab kepimpinan UMNO yang lain.

“Walaupun saya bertanggungjawab di atas keputusan pilihan raya, seperti yang (Datuk Seri) Johari tegaskan, ia sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama kepimpinan UMNO,” katanya lagi.

BACA: Ramai Lega, Masalah Lif PPR Selesai Selepas Tindakan Ini, Siap Nak Bagi Internet Percuma

Dalam PRN baru-baru ini, UMNO menerusi Barisan Nasional (BN) dilihat mengalami prestasi yang teruk apabila hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi ditandinginya.

Walaupun memiliki rekod yang baik di Negeri Sembilan dengan memenangi 14 kerusi.

UMNO dianggap memiliki prestasi terburuk selepas kehilangan semua kerusi yang ditandinginya di Terengganu dan Kedah. Malah di Pulau Pinang dan Selangor, parti itu hanya memenangi dua kerusi.

Di Kelantan pula, BN hanya berjaya memenangi sebanyak satu kerusi sahaja di negeri tersebut.

Sumber: Astro Awani

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.