Ini Sebab Kenapa Kenderaan Perlu Guna Tayar Tanpa Udara Pada Masa Depan
Cuba bayangkan, apabila dunia semakin maju segala perkara berubah ke arah teknologi bertaraf tinggi. Semua perkara yang dikatakan mustahil telah berjaya dicipta dan digunakan oleh masyarakat.
Misalnya, tayar tanpa udara yang dikatakan akan menjadi generasi baharu dalam menyelesaikan masalah tayar pancit. Adakah tayar itu akan diguna pakai pada masa terdekat ini? Mari ketahuinya di bawah ini.
Walaupun penggunaannya sudah menjadi realiti pada kenderaan kecil seperti kereta golf bermotor atau peralatan seperti mesin pemotong rumput, namun ujian dan aplikasinya pada kenderaan penumpang besar adalah perkembangan yang lebih baharu.
Kebanyakan reka bentuk tayar tanpa udara menggunakan jejari berjalin yang kuat atau struktur seperti jaringan yang mengelilingi roda dan boleh melentur serta berubah bentuk semasa kereta dipandu dan melepasi bonggol.
Faedah paling ketara dengan menggunakan tayar tanpa udara adalah ia menghilangkan risiko pancit yang boleh menyebabkan kereta anda terpincang-pincang atau terkandas di tepi jalan semasa anda menukar tayar atau menunggu bantuan.
Menariknya, pemandu tidak memerlukan tayar ganti dan alat gantian kemungkinan tidak diperlukan dalam kereta mereka.
Selain itu, difahamkan ia menghapuskan keperluan untuk kit perkakasan tayar, sekali gus meninggalkan lebih banyak ruang simpanan dalam but kenderaan.
Malah, ia juga dipercayai bertahan sehingga tiga kali ganda lebih lama daripada tayar konvensional, yang bermaksud perlu diganti dengan lebih jarang.
Selain itu, tekanan tayar tidak perlu diubah suai, yang bermaksud bahawa roda sentiasa berpusing dalam keadaan optimum untuk penjimatan bahan api dan perlindungan daripada kehausan yang berlebihan.
Banyak syarikat tayar mendakwa bahawa reka bentuk tayar tanpa udara mereka diperbuat daripada bahan kitar semula dan boleh terus dikitar semula pada masa hadapan untuk diproses menjadi tayar baharu.
Syarikat pengeluar tayar mula perkenalkan tayar tanpa udara
Tayar tanpa udara yang dinamakan sebagai Unique Puncture-Proof Tyre System (Uptis) dilancarkan buat kali pertama pada 2019, disifatkan sebagai tayar mesra alam kerana ia tidak menggunakan udara dan mampu menghapuskan risiko pancit.

Inovasi tersebut diperkenalkan oleh Michelin yang merupakan syarikat pengeluar tayar yang berpangkalan di Clermont-Ferrand di rantau Auvergne di Perancis. Difahamkan juga, ia bakal memasuki pasaran secara komersial pada tahun 2024.
Digabungkan daripada roda aluminium dengan struktur galas beban yang diperbuat dari kaca gentian diperkuat plastik (GFRP) dan komposit getah fleksibel, tayar tanpa udara mampu memuatkan rim konvensional.
Sasaran ke arah lebih mampan
Menerusi tinjauan yang dijalankan Michelin, sebanyak 20 peratus daripada keseluruhan tayar tidak lagi boleh digunakan sebelum waktunya akibat masalah bocor, kehilangan tekanan yang cepat dan juga haus secara tidak sekata disebabkan oleh tekanan angin yang lemah.
Jumlah peratusan itu bersamaan dengan 200 juta tayar yang dibazirkan bersamaan dengan 200 kali berat Menara Eiffel.
Dalam konsep visi Michelin ke arah menjadi pengeluar tayar yang menggunakan material yang mampan sepenuhnya menjelasng 2050, UPTIS merupakan langkah pertama dalam sasaran itu.
Hampir 30 peratus bahan yang digunakan adalah daripada sumber asli, kitar semula atau sumber lestari. Michelin juga mengatakan sasaran untuk mobiliti yang mampan itu termasuk bunga tayar boleh dicas semula.

Maksud dicas semula itu ialah tayar yang sudah haus boleh diciptakan semula dengan proses cetakan 3D. Proses tersebut juga dikatakan mampu menawarkan penukaran corak bunga berdasarkan keadaan cuaca.
Kemudian, ia juga menawarkan teknologi berhubung, di mana ia mengumpulkan data bagi meningkatkan keselamatan jalan raya, pengurusan flit untuk penggunaan komersil yang juga boleh digunakan dalam pemanduan di litar.
BACA: Ada Beza, Kenali Jenis-Jenis Bunga Tayar & Fungsinya

Michelin mengatakan visi tayar tanpa udara itu dicipta adalah untuk menghapuskan keperluan udara dengan struktur revolusioner yang mampu menyokong (beban) kenderaan.
Tayar tanpa udara juga diinovasikan untuk memberikan perjalanan yang selamat dan selesa serta tayar pancit dan kehilangan tekanan tidak lagi menjadi isu besar buat pemandu.
Sumber: Michelin, Paultan.org, Autoexpress