Pengunjung Zoo Ketakutan, Nampak Monyet Acu Pisau Dalam Kandang
Seekor monyet di Zoo Chester, Cheshire telah membuat pengunjung panik gara-gara bertindak mengacukan pisau ke arah monyet yang lain, lapor The Sun.
Pisau pelbagai fungsi itu dipercayai telah ditinggalkan oleh seorang pekerja kontraktor secara tidak sengaja ketika memotong pokok di dalam kandang besar tersebut.
Monyet itu dilihat berjaya mengambil pisau poket itu sebelum menghempasnya ke dinding kaca tebal dalam usaha untuk membukanya.
Rakaman yang diperoleh The Sun menunjukkan haiwan yang merupakan spesis terancam di dunia itu berjalan dalam kandangnya sambil menggenggam pisau.
Insiden itu dikatakan berlaku pada jam 5 petang Rabu lalu dan telah menarik perhatian puluhan keluarga yang terkejut dengan kejadian tersebut.
Leanne Jones, 32, yang melihat kejadian itu bersama anak perempuannya yang berusia empat dan sembilan tahun berkata: “Ia sebenarnya adalah momen penting hari itu.
“Kanak-kanak menyukainya, mereka berlari dan memberitahu semua orang apa yang sedang berlaku. Kami juga memaklumkan kepada penjaga. Ia berjaya membukanya tetapi menjatuhkannya sejurus selepas itu,” kata Leanne saksi kejadian tersebut.
Pekerja Morrisons memberitahu Leanne bahawa seorang tukang kebun telah menebang pokok dan melakukan kerja penyelenggaraan.
Seperti adegan filem Planet of the Apes
Dalam pada itu, rakan Leanne yang dikenali sebagai Marc Shingler berkata adegan itu seperti penjelmaan kehidupan sebenar francais Planet of the Apes.
“Ia sesuatu yang kami tidak pernah alami sebelum ini. Dia terus memukul pisau di dinding cuba membukanya. Jadi dia tahu apa itu dan apa yang dia mahu lakukan dengan pisau itu,” kata Marc.

Keluarga itu kemudiannya pergi selepas 25 minit melihat kejadian dalam kandang monyet tersebut.
Kakitangan zoo berkata bahawa mereka akan mendapatkan semula pisau itu sebaik kumpulan yang bersemangat itu kembali ke bahagian lain di sangkar mereka.

Seorang jurucakap Zoo Chester mengesahkan bahawa alat “pelbagai fungsi” itu telah ditinggalkan di dalam kandang haiwan tersebut.
Richard Byrne, Profesor Emeritus di Universiti St Andrews berkata ia bernasib baik kerana monyet itu tidak menyebabkan sebarang bahaya.
Monyet di Zoo Chester berasal dari pulau Sulawesi Indonesia. Spesis itu disenaraikan sebagai terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).
Sumber: The Sun