Kenyataan Sekolah Agama Di Selangor Diarah Tutup Tak Berasas, Tuduhan Tak Bertanggungjawab – Menteri
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar menolak dakwaan berkenaan penutupan sekolah agama di negeri Selangor.
Menurut Mohd Na’im, kenyataan yang dilemparkan oleh beberapa pihak itu adalah tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.
Tegasnya, satu garis panduan dibuat ekoran kejadian insiden kebakaran sehingga melibatkan kemalangan jiwa di sekolah agama persendirian di Kuala Lumpur pada 2017 lalu.
Katanya Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor telah dibangun dan dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2021 bertujuan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan para pelajar serta seluruh warga institusi tahfiz berkenaan.
“Inisiatif ini diambil sebagai langkah supaya tragedi meragut nyawa tidak berulang lagi di mana-mana sekolah agama di negeri Selangor.
“Pada masa sama, penguatkuasaan Garis Panduan tersebut telah mendapat kerjasama daripada Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran negeri Selangor (PITAS),” tulis kenyataan tersebut.
BACA: Ramai Lega, Masalah Lif PPR Selesai Selepas Tindakan Ini, Siap Nak Bagi Internet Percuma
Kata beliau lagi, sejak 2021, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui Kerajaan Negeri telah menetapkan pihak sekolah perlu mematuhi syarat pendaftaran terbaru.
Kelonggaran pendaftaran terbaharu mengikuti garis panduan telah diberikan kepada pihak sekolah selama dua tahun.
Selain itu, dalam tempoh tersebut pihak JAIS juga turut mengeluarkan pendaftaran lanjutan kepada pihak sekolah bagi memberi mereka peluang.
“Justeru dakwaan oleh pihak berkaitan yang kononnya amaran telah diberikan kepada sekolah agama persendirian supaya diarah keluar dari premis adalah tidak benar.
“Semua pihak adalah digesa supaya merujuk isu ini kepada pihak berautoriti supaya fakta dan konteks sesuatu isu itu tepat serta jelas,” akhiri kenyataan tersebut.


Sumber: X/@DSDrNaim