8 Kawasan Alami Gangguan Telekomunikasi, Menara Komunikasi Di Kg Gasak Rosak Akibat Vandalisme
Menara komunikasi di Kg, Gasak, Chini di daerah Pekan, Pahang dilaporkan mengalami kerosakan akibat perbuatan vandalisme.
Perkara itu dikongsikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi satu hantaran di Facebook rasminya.
Hasil tinjauan MCMC, menara itu didapati mengalami kerosakan melibatkan peralatan elektronik yang tidak boleh digunakan semula.
Selain itu, peralatan tersebut dikatakan harus diganti dengan yang baharu dan tertakluk kepada stok sedia ada.
Ekoran kerosakan itu, perkhidmatan telekomunikasi di sekitar daerah itu dilaporkan telah mengalami gangguan liputan perkhidmatan.
“Akibat daripada kerosakan tersebut, perkhidmatan telekomunikasi seperti Celcom, Digi dan Maxis telah mengalami gangguan liputan perkhidmatan 4G memandangkan menara di Kg. Gasak merupakan menara collector Multi Operator Core Network (MOCN),” tulis kenyataan tersebut.
Sementara itu, gangguan liputan itu turut memberi kesan kepada lapan lagi menara lain yang dirangkaikan melalui menara tersebut.
Sebanyak lapan lokasi dilaporkan terjejas mengalami liputan telekomunikasi tersebut.
Antara lokasinya adalah Pekan Chini, Chini. Kg. Gemapai, Ramo Chini 3, Felda Chini Timur 1, Felda Chini 5, Chini Plantation dan Chini Timur 2.
Kerja-kerja baik pulih dikatakan bakal mengambil masa ekoran kerosakan teruk yang terjadi kepada menara komunikasi tersebut.
“Kerja-kerja baik pulih akan mengambil masa berikutan kerosakan teruk kepada menara komunikasi Kg. Gasak,” tambah kenyataan itu.
Difahamkan, usaha membaik pulih sedang giat dijalankan oleh pihak CelcomDigi bagi mencari penyelesaian jangka pendek dan interim.
Antara usaha yang dilakukan adalah dengan perkongsian bandwidth daripada gentian optik sedia ada di Pekan Chini.
Namun begitu, disebabkan bandwidth yang terhad, hanya beberapa menara sahaja yang dijangka dapat dipulihkan untuk perkhidmatan sementara.
“Oleh kerana bandwidth yang terhad, hanya beberapa menara sahaja dijangka akan dapat dipulihkan untuk perkhidmatan sementara. Ia mungkin dapat disediakan selewat-lewatnya pada hari Sabtu, 19 Ogos ini,” akhiri kenyataan itu.
Sumber: Facebook/Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia