“Semak Dulu Fakta”, Tengku Zafrul Jawab Dakwaan 200 Sekolah Tahfiz Di Selangor Diarah Tutup
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, YB Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam tampil menjelaskan beberapa fakta berkenaan dakwaan sekolah tahfiz di Selangor diarah tutup.
Beliau tampil dengan video itu bagi menjawab dakwaan penutupan 200 buah sekolah tahfiz di Selangor yang dibuat sesetengah pihak.
Bagi menjelaskan perkara berkenaan, beliau bermula dengan mengingatkan orang ramai mengenai satu tragedi kebakaran yang menimpa sebuah pusat tahfiz pada 2017. Dalam tragedi tersebut, 23 nyawa pelajar tahfiz berkenaan terkorban.
Susulan kes tersebut, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah membangunkan garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor.
Garis panduan ini telah dikeluarkan pada 2021 bagi memastikan keselamatan murid-murid di sekolah terjamin. Bagaimanapun, ketika itu garis panduan tersebut tidak dikuatkuasakan serta-merta.
“JAIS beri masa dua (2) tahun untuk sekolah agama patuhi syarat yang ditetapkan.”
Menurutnya, tempoh dua tahun merupakan masa yang agak panjang. Maka sepatutnya semua sekolah agama ini sudah dapat mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
“Memang belajar agama itu bagus, tapi pada masa yang sama, sekolah tersebut perlu selamat dan sesuai untuk anak-anak belajar,” katanya.
Beliau berkata, semua pihak pastinya bersetuju bahawa tiada siapa pun mahu peristiwa yang berlaku pada 2017 itu berulang sekali lagi.
Selain itu, Tengku Zafrul turut membidas kenyataan yang mendakwa kononnya 200 buah sekolah ini telah berjaya mendapat pengiktirafan dari Bomba tetapi disekat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Kalau macam tu, senaraikan sekali syarat PBT yang mereka gagal patuhi. Tunjukkan pada kita, mana syarat yang diadakan semata-mata nak gagalkan permohonan sekolah agama,” katanya lagi.
Malah, beliau turut mengingatkan bahawa kebanyakan kakitangan PBT di Selangor merupakan orang Melayu yang beragama Islam.
”Bila tuduh PBT sengaja sekat, maknanya anda tuduh orang Melayu Islam kita yang sengaja sekat permohonan sekolah agama,” katanya lagi.
Kata Senator tersebut, mereka hanya menjalankan tugas bagi memastikan sekolah yang didiami anak Selangor dalam keadaan selamat.
“Penguatkuasaan undang-undang ini juga disokong oleh Persatuan Institut Tahfiz al-Qur’an Negeri Selangor (PITAS) yang dianggotai 478 sekolah agama persendirian.
”Kalau 478 institusi ini boleh ikut garis panduan yang disediakan, mengapa yang 200 ini tak boleh? Dapatkan dulu fakta sepenuhnya, barulah boleh buat kesimpulan.”
Sekali baca headline ni, mesti terkejut. Pasal apa nak tutup sekolah agama kan? Kita perlu semak fakta untuk tahu, apa sebenarnya cerita di sebalik headline sensasi ni.#sekolahagama #pusattahfiz #PBT pic.twitter.com/ArJS0QlzaL
— Tengku Zafrul 🇲🇾 (@tzafrul_aziz) August 18, 2023
BACA: Ini Maksud & Asal-usul “Mayday”, Panggilan Kecemasan Penting Dalam Industri Penerbangan
Sumber: @tzafrul_aziz via Twitter