Letak Dalam Almari, Ini Cara Mudah Buat Pewangi “Homemade” Guna Dua Bahan Je
Umumnya, pakaian akan digantung atau dilipat sebelum diletakkan di dalam almari yang bertutup selepas selesai dibasuh. Kadangkala perkara ini sering mengundang kepada kehadiran kulat pada bahagian dalam almari malah terhadap pakaian anda.
Masalah ini sering timbul apabila pakaian terperam dalam tempoh yang agak lama di dalam almari. Ia sering mengundang kepada masalah seperti kulat hidup dan tompokan tahi lalat khususnya pada pakaian berwarna putih.
Lazimnya, masalah sering timbul disebabkan oleh udara yang lembap lebih-lebih lagi pada suhu bilik tanpa terkena sinaran matahari. Oleh itu, pakaian anda akan cenderung untuk berbau busuk atau ‘kepam’ meskipun berbau wangi pada awalnya.
Sebahagian orang mengambil inisiatif untuk membeli pewangi bilik dan almari untuk memastikan pakaian kekal wangi dan segar sepanjang masa.
Tahukah anda, sebenarnya kita boleh membuat pewangi atau penyegar udara sendiri secara homemade dengan dua bahan sahaja. Menarik kan?
Untuk mengetahui apakah bahan itu dan bagaimana langkah pembuatan, jom kita ikuti perkongsian Bezzera di bawah.
Pewangi Homemade
Bahan-bahan
Garam dan cecair pelembut pakaian.
Alatan
Bekas makanan (tupperware dadih) sudu dan garfu.
BACA JUGA: Ini 4 Perkara Anda Kena Buat Untuk Pastikan Rumah Kekal Bersih & Wangi
Langkah-langkah
Pertama, sediakan bekas makanan bersama penutup. Tebuk atau buat lubang pada bahagian penutup dengan menggunakan garfu yang dipanaskan.

Kedua, masukkan garam kasar di dalam bekas tadi dengan sukatan dua sudu besar.

Ketiga, kemudian masukkan cecair pelembut ke dalam bekas (terpulang nak guna jenama apa).

Keempat, gunakan sudu untuk gaulkan campuran cecair pelembut pakaian dan garam secara bersamaan hingga sekata. Pastikan pes yang terhasil tidak terlalu cair dan terlalu kering.

Kelima, setelah selesai, pewangi homemade anda siap untuk diletakkan di dalam almari.

Fungsi
Menurut penerangan dalam klip itu, garam bertindak sebagai bahan penyerap kelembapan udara. Manakala cecair pelembut pakaian pula bertindak sebagai penyegar udara (membuatkan pakaian lebih wangi).
Oleh itu, ia boleh mengelakkan pertumbuhan kulat dan pada masa yang sama memberikan kesegaran di dalam almari pakaian anda.
Selamat mencuba!
Sumber: Bezzera