Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar semua ahli politik berhenti berpolitik, sebaliknya memberikan fokus kepada masa depan rakyat, negeri dan negara, lapor Awani.
Titah baginda, dirinya sendiri turut berasa sudah ‘penat’ dengan senario politik hari ini yang masih belum reda saban hari.
Sebaliknya baginda berharap agar Selangor bangkit dari segi pertumbuhan ekonomi dan perpaduan rakyat seperti zaman kegemilangannya dahulu, di mana rakyat hidup dalam keadaan selesa.
“Cukup-cukuplah kita berpolitik, rakyat dah penat, beta pun dah penat dengar. Bangunlah ahli-ahli Yang Berhormat semua, fikirkanlah masa depan negeri, negara dan masa depan anak cucu kita.
“Jadikan negeri Selangor ini hebat semula seperti mana pada zaman kegemilangan negeri Selangor tidak berapa lama dahulu.
“Usia beta telah menjangkau 78 tahun pada tahun ini, dan adalah menjadi harapan dan impian beta, agar sebelum beta menutup mata dan dijemput Ilahi, beta dapat melihat Selangor bangkit semula, maju ke hadapan dari segenap sudut yakni pembangunan fizikal dan kerohanian, pertumbuhan ekonomi yang mampan, perpaduan di kalangan rakyat berbilang bangsa, di mana rakyatnya hidup dalam keadaan selesa serta kemakmuran yang berpanjangan,” titah baginda.
Sementara itu, baginda mengingatkan agar semua wakil rakyat tidak terjerumus daripada segala perbuatan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan memelihara integriti masing-masing.
BACA: Sanusi Utus Warkah Kepada Sultan Selangor, Mohon Ampun & Maaf
“Seperkara lagi yang beta ingin nasihatkan adalah berkaitan integriti ahli-ahli Yang Berhormat yang perlu sentiasa dipelihara.
“Walaupun perkara ini telah sering beta ingatkan pada setiap kali ucapan beta di mana-mana jua, namun beta merasakan perkara ini perlu diulangi bagi mengingatkan ahli-ahli Yang Berhormat tentang kepentingan menjaga integriti.
“Jauhilah diri daripada segala perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri sendiri atau pihak-pihak tertentu semasa melaksanakan tugas mentadbir negeri,” titah baginda lagi.
Difahamkan juga, titah tersebut dibuat selepas baginda berkenan menyempurnakan Istiadat Angkat Sumpah dan Ikrar Aku Janji Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Ahli Majlis Kerajaan Selangor (Exco) di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang pada Isnin.
Sumber: Awani
BACA: Keperluan Tauliah Mengajar Demi Pelihara Agama Islam – Sultan Selangor