Kuala Lumpur, 21 Ogos 2023 — Yayasan ROSE, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang berdedikasi untuk penghapusan kanser serviks, telah dipilih sebagai pemenang Asia pertama anugerah global di bawah program Anugerah Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan UNIVANTS yang berprestij untuk 2022.
Program Anugerah Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan UNIVANTS ialah program anugerah antarabangsa yang ditubuhkan pada 2018. Pengasas dan rakan kongsi semasanya termasuk IFCC (International Federation of Clinical Chemistry and Laboratory Medicine); Association for Diagnostics & Laboratory Medicine (sebelum ini dikenali sebagai AACC atau American Association for Clinical Chemistry); EHMA (European Health Management Association); Modern Healthcare; HIMSS (Healthcare Information and Management Systems Society); NAHQ (National Association for Healthcare Quality); IHE (Institute of Health Economics) dan Abbott Laboratories.
Anugerah tersebut mengiktiraf pasukan yang bekerjasama merentas disiplin dan mengubah penyampaian penjagaan kesihatan dan, akhirnya, kehidupan pesakit. Yayasan ROSE telah dipilih sebagai salah satu daripada tiga pemenang global teratas untuk Program ROSE (Removing Obstacles to Cervical ScrEening). Dua pemenang lain ialah Hospital Ipswich di United Kingdom dan National Basketball Association (NBA) Amerika Syarikat.
Program ROSE ialah program saringan serviks HPV (Human Papillomavirus) primer yang menggabungkan pensampelan kendiri dan teknologi digital untuk memastikan wanita yang disaring dan dikesan dengan virus HPV akan dihubungkan untuk rawatan susulan di hospital awam. Tindakan susulan dilakukan melalui telefon bimbit wanita berkenaan.
Kanser serviks adalah kanser kedua paling lazim di kalangan wanita Malaysia di bawah umur 45 tahun. Namun, dengan pemeriksaan awal dan rawatan yang sesuai, ia boleh dicegah. Kanser serviks juga merupakan satu-satunya kanser yang boleh dihapuskan.
Tunjang kisah kejayaan Program ROSE bukan sahaja semata-mata kerana integrasi lancar pensampelan kendiri, ujian HPV primer, platform kesihatan digital yang memanfaatkan teknologi mudah alih dan rantaian yang kukuh kepada penjagaan, tetapi juga kepada perpautan antara pendidikan, penglibatan komuniti dan advokasi.
Professor Dato’ Dr Adeeba Kamarulzaman, Pengerusi Yayasan ROSE, berkata, “Kami amat berbesar hati untuk diiktiraf sebagai organisasi Asia yang pertama untuk memenangi anugerah berprestij ini, yang menggariskan kejayaan Program ROSE.”
Beliau berkata bahawa dengan lebih 24,000 wanita disaring setakat ini dan lebih daripada 92.5% kes HPV yang dikesan telah dihubungkan kepada penjagaan, anugerah tersebut akan memberi inspirasi kepada Yayasan ROSE untuk mengembangkan penggunaan teknologi kesihatan yang berimpak tinggi.
Prof Dato’ Dr Adeeba juga berkata bahawa melalui pendekatan inovatif ini, hampir 200 wanita telah berjaya dirawat untuk pra-kanser dan kanser peringkat awal. Menurut beliau, model Program ROSE bukan sahaja menangani isu kesihatan yang kritikal tetapi benar-benar memperkasakan wanita untuk menjaga kesihatan mereka sendiri. Pemeliharaan privasi dan maruah mereka sepanjang proses saringan memberi manfaat yang ketara dan meluas untuk pesakit, doktor dan sistem kesihatan yang lebih luas, kata beliau.
“Matlamat kami adalah untuk memperkasakan komuniti yang kurang disaring dan terpinggir kerana kami kekal teguh dalam misi kami untuk mencipta sejarah kanser serviks di negara kita,” tambah beliau.
Tricia Ravalico, Ketua Eksekutif, Program Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan UNIVANTS, berkata, “Kami berbesar hati untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang Program ROSE, sebagai pemenang utama untuk kecemerlangan penjagaan kesihatan sehubungan dengan anugerah UNIVANTS of Healthcare Excellence 2022. Kerja mereka merangkumi semua prinsip anugerah termasuk kerja berpasukan (bersatu untuk sesuatu yang lebih unggul) serta pemikiran avant-garde, inovasi dan kuasa diagnostik. Kami memuji Profesor Woo dan seluruh pasukan yang telah bekerja dengan gigih untuk membuat perubahan dalam usaha untuk menghapuskan kanser serviks di Malaysia.”
Dr Woo Yin Ling, Profesor Obstetrik dan Ginekologi di Universiti Malaya, Pemegang Amanah serta Pengasas dan Penasihat Teknikal Perubatan Yayasan ROSE, menghuraikan kejayaan Program ROSE: “Anugerah ini bukan sahaja meningkatkan kedudukan kami tetapi juga membuka peluang untuk lebih banyak kerjasama. Kerjasama sebegini penting untuk kelestarian dan seterusnya menyemarakkan matlamat kami untuk menghapuskan kanser serviks di negara kami di samping menjadi model untuk kemajuan kesihatan wanita di peringkat global.”
Beliau berkata bahawa impak transformatif Program ROSE ke atas kehidupan wanita, terutamanya mereka yang berada dalam komuniti yang kurang disaring dan kurang mampu, dimungkinkan melalui perkongsian kukuh, penderma yang murah hati dan penglibatan juara komuniti tempatan. “Selain menjadi penyelesaian saringan serviks kendiri HPV yang berjaya memenangi anugerah, Program ROSE merupakan kisah cinta yang diilhamkan, disampaikan dan dipupuk oleh individu yang cintakan negara dan wanita yang paling rapat dengan mereka. Mereka memahami bahawa dengan menyumbang kepada Program ROSE, mereka melindungi ibu, kakak, anak perempuan atau isteri seseorang,” tambah beliau.
Majlis penyampaian anugerah bagi mengiktiraf Program ROSE telah diadakan di Kuala Lumpur pada 18 Ogos 2023.