Siakap Keli

Pelaburan Langsung Domestik (DDI) Antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Bagi Jumlah Pelaburan Yang Ditarik Ke Malaysia

Dalam merancakkan landskap pelaburan negara, Kerajaan hari ini telah menetapkan pelaburan langsung domestik (DDI) sebagai salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) bagi menjana jumlah pelaburan negara. Keputusan ini telah dibuat semasa Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara Kedua (MPN/02/2023) di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hari ni.  

Kerajaan, khususnya melalui MITI komited untuk sentiasa mengimbangi kedua-dua pelaburan langsung asing (FDI) dan DDI bagi merangsang pembangunan yang lestari dan seimbang di seluruh negara.  

Kewujudan ekosistem perindustrian domestik secara lebih strategik amat penting bukan sahaja bagi menjana pertumbuhan KDNK yang mampan, tetapi juga bagi memperkasakan ekosistem ekonomi domestik dalam menghadapi pelbagai cabaran global, termasuk ancaman perubahan iklim, serta pelbagai cabaran pasca-pandemik dan geopolitk yang menyebabkan rantaian bekalan terganggu, harga bahan mentah meningkat dan kadar inflasi global yang tinggi. 

Pelaburan DDI yang strategik juga berpotensi untuk menarik lebih FDI  kerana pelabur asing sentiasa menganggap DDI sebagai penanda aras  bagi keyakinan dan komitmen pelabur domestik terhadap dasar-dasar  Kerajaan bagi memantapkan lanskap pelaburan dan perniagaan negara.  

Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan  peningkatan DDI, namun Kerajaan berpendapat bahawa usaha  meningkatkan DDI perlu lebih menyeluruh. Sehubungan itu, mesyuarat  MPN hari ini juga menekankan salah satu mesej Ekonomi MADANI yang  diumumkan pada 27 Julai 2023 iaitu mengenai betapa pentingnya  kerjasama dan pembabitan strategik oleh Syarikat Pelaburan  Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC)  untuk memperkasakan DDI.  

Secara keseluruhannya, GLIC hari ini mengurus aset pelaburan bernilai  lebih RM1.7 trilion, dan memainkan peranan yang penting bukan sahaja  bagi memacu pembangunan infrastruktur kritikal, dan membolehkan  pertumbuhan pelbagai sektor ekonomi baharu, tetapi juga bagi membantu  menarik pelabur asing ke Malaysia.  

MPN mengakui bahawa DDI dan FDI mempunyai kebergantungan antara  satu sama lain dan saling melengkapi. FDI penting bagi mempercepatkan  pertumbuhan ekonomi manakala DDI penting bagi memperkukuhkan  ekonomi negara. Walaupun beberapa kajian telah mengesahkan faedah  FDI kepada negara, pemerkasaan pelaburan domestik berkualiti tinggi  adalah sama penting dan mesti terus dipermudah dalam memacu ekonomi  negara sekaligus mengembangkan struktur rantaian industri, terutamanya  pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). 

Bagi tahun 2022, sejumlah RM267.7 bilion pelaburan daripada 4,517 buah  projek yang diluluskan daripada pelbagai sektor ekonomi (sektor  perkhidmatan, perkilangan dan utama) di Malaysia yang akan menjana  140,440 peluang pekerjaan. DDI menyumbang sebanyak RM104.4 bilion  (38.9%) kepada jumlah ini. Manakala bagi suku pertama 2023, nisbah  FDI:DDI adalah 52.5% bagi FDI dan 47.5% bagi DDI, dari komitmen  pelaburan berjumlah RM71.4 bilion (peningkatan 59.7% tahun-ke-tahun.)  Peningkatan nisbah DDI mencerminkan peningkatan keyakinan  syarikat dan perniagaan tempatan terhadap dasar kerajaan semasa. 

Mesyuarat MPN kedua ini juga antara lain turut membincangkan mengenai  mekanisme terbaik dalam memperkemaskan lanskap Agensi Penggalakan  Pelaburan (IPA) negara menjelang 1 Januari 2024. Sehubungan itu, MPN  juga memutuskan bahawa Jawatankuasa Koordinasi Pelaburan di antara  MITI dan kesemua IPA akan diaktifkan semula.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.