Ketua Wagner, Yevgeny Prigozhin Maut Pesawat Dinaiki Terhempas Di Rusia
Ketua Kumpulan Wagner, Yevgeny Prigozhin disahkan antara yang terbunuh dalam nahas pesawat peribadi terhempas pada Rabu, semalam.
Menurut kenyataan rasmi Rusia, pesawat peribadi membawa 10 orang penumpang, yang semuanya terkorban, itu terhempas ketika dalam perjalanan antara Moscow dan St. Petersburg. Pesawat berkenaan juga turut dinaiki oleh tiga orang kru.
Turut terkorban adalah Dmitry Utkin, individu di belakang tadbir yang dikatakan mengurus aktiviti ketenteraan Kumpulan Wagner dan dipercayai pernah berkhidmat dalam unit risikan Tentera Rusia.
Menurut AFP, beberapa saluran Telegram yang memiliki kaitan dengan Wagner menyiarkan rakaman yang memaparkan serpihan pesawat terbakar di tengah padang.
Sungguhpun begitu, pihak AFP tidak dapat mengesahkan sama ada rakaman tersebut benar-benar sahih atau sebaliknya.
Nahas pesawat tersebut berlaku kira-kira dua bulan selepas Prigozhin melancarkan pemberontakan ke atas Rusia. Tindakan itu dilihat sebagai cabaran terbesar terhadap kedudukan Presiden Rusia, Vladimir Putin sejak beliau mula menguasai tampuk kepimpinan negara tersebut.
Wagner terlibat secara aktif dalam operasi kententeraan khas Rusia di Ukraine
Sebelum ini, Kumpulan Wagner merupakan antara tonggak utama dan terlibat secara aktif dalam operasi ketenteraan khas Rusia ke atas Ukraine.
Sepanjang penglibatan, kumpulan tenteran upahan pimpinan Prigozhin berjaya menguasai beberapa bandar di Ukraine. Bagaimanapun, hubungan antara Wagner dengan Tentera Rusia mulai tegang apabila Prigozhin secara terang-terangan mengkritik kepimpinan tertinggi tentera itu.
Situasi semakin keruh apabila Prigozhin turut menuduh menteri dalam kerajaan Rusia cuba mencuri kredit di atas usaha pasukannya di Ukraine.
Ketegangan sampai ke kemuncak apabila Prigozhin melancarkan pemberontakan pada 23 Jun. Ribuan tentera upahan Wagner ketika itu dilaporkan bergerak menuju ke Moscow dengan misi utama adalah untuk menyingkirkan kepimpinan tertinggi Tentera Rusia.
Bagaimanapun, pemberontakan tersebut berakhir sehari kemudian selepas kedua-dua pihak berunding melalui satu usaha damai yang diketuai oleh Presiden Belarus, Alexander Lukashenko.
BACA: Frasa Keramat Disalahguna, Azri Walter Jelaskan Maksud Sebenar ‘Sebab Boleh Dik’
Sumber: AFP