Konsert Lagu Viral TikTok 2023 Dibatalkan, Panganjur Digesa Tukar Lokasi
Konsert Lagu Viral TikTok 2023 yang dijadualkan bakal berlangsung di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 30 September depan diarahkan untuk dibatalkan oleh kerajaan negeri.
Menerusi hantaran Facebook milik Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohammad Abdul Hamid berkata, kerajaan negeri mengambil maklum kegusaran orang ramai berkenaan penganjuran konsert berkenaan.
Konsert tersebut dijadualkan bakal berlangsung di Dewan Milenium, Kepala Batas.
“Selaku Exco Pembangunan Agama Islam, saya telah meminta pihak berkuasa tempatan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk membatalkan kelulusan konsert berkenaan.”
Walaubagaimanapun, pihak penganjur meminta untuk memindahkan lokasi konsert ke Batu Kawan dengan syarat-syarat tambahan.
Jelas Mohammad Abdul Hamid, konsert berkenaan telah mendapat bantahan penduduk setempat. Penganjuran konsert tersebut dianggap tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam di kawasan berkenaan.
Lebih-lebih lagi konsert tersebut dijadualkan berlangsung hanya dua hari selepas umat Islam meraikan sambutan Maulidur Rasul.
“Warga setempat telah mengemukakan bantahan rasmi mereka kepada Datuk Bandar MBSP,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Poster Konsert Lagu Viral TikTok Malaysia Indonesia 2023 tular di media sosial, cetus kebimbangan orang ramai
Sebelum ini, tular poster penganjuran Konsert Viral Lagu-Lagu TikTok Malaysia Indonesia 2023 pada Selasa lepas. Konsert tersebut dikatakan bakal menampilkan beberapa artis termasuk dari Indonesia.
Sungguhpun begitu, kadar caj tiket dan maklumat lengkap penganjur tidak dinyatakan di dalam poster terbabit.
Pada masa yang sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam hantaran di Facebooknya, membantah penganjuran konsert berkenaan.
“Setelah mendapat maklumat terperinci, saya telah mengarahkan #TeamBertamKita mengemukakan bantahan rasmi kepada YBhg Datuk Azhar Hj Arshad, Datuk Bandar MBSP.
“Penganjuran konsert hiburan sebegini, pertamanya tidak sesuai diadakan dalam persekitaran Kepala Batas dan keduanya, ia diadakan dua hari selepas umat Islam meraikan sambutan Maulidur Rasul,” jelasnya.
Memetik laporan Sinar Harian, Datuk Bandar MBSP akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu terbabit dalam masa terdekat.
BACA: Frasa Keramat Disalahguna, Azri Walter Jelaskan Maksud Sebenar ‘Sebab Boleh Dik’
Sumber: Datuk Dr Mohammad Abdul Hamid, Reezal Merican Naina Merican via Facebook & Sinar Harian